Friday 14 September 2012

MARA salurkan RM401 juta kepada 4,700 usahawan


KUALA PILAH - Sehingga akhir bulan lepas, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyalurkan sebanyak RM401.8 juta untuk pelbagai pinjaman kepada lebih 4,700 usahawan MARA seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan) Mohd Rosdi Ismail berkata jumlah itu melebihi sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini, iaitu RM400 juta untuk 4,690 usahawan.

"Di Negeri Sembilan ini sahaja, sasaran kami adalah 342 orang usahawan dengan peruntukan RM29 juta tapi sehingga Ogos lepas, ia melebihi sasaran 401 usahawan dengan peruntukan pinjaman sebanyak RM33.2 juta.

"Kami masih mengalu-alukan mereka yang ingin menjadi usahawan MARA kerana kami akan tetap salurkan pinjaman jika ada peruntukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bazar MARA Pelangai, di Pelangai, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah.

Mohd Rosdi berkata kebanyakan pinjaman itu diberikan kepada usahawan yang mahu memulakan perniagaan selain menyediakan mereka ruang perniagaan di premis dan bazar MARA.

Sementara itu, Hasan berkata sehingga kini MARA menyediakan sebanyak 482 buah premis yang mampu menyediakan ruang niaga kepada lebih 8,000 usahawan seluruh negara.

Katanya, premis itu terdiri daripada arked, bazar, rumah kedai, bengkel dan kompleks bagi membantu usahawan menjalankan pelbagai jenis perniagaan yang diingini dalam keadaan selesa.    

"Kita juga akan menambah dari semasa ke semasa jumlah premis MARA ini dan menaiktaraf premis lama bagi menyediakan kemudahan kepada usahawan untuk bertapak dengan stabil," katanya.

Mengenai Bazar MARA Pelangai, Hasan berkata ia dibina semula setelah mengalami kerosakan akibat kebakaran dua tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Julai lepas dengan kos RM340,000 dan mengandungi lima unit ruang niaga.- Bernama

No comments:

Post a Comment