Sunday 30 September 2012

Pilihan Selangor Akhiri Kemarau 3 Tahun Julang Piala Sultan Selangor


SHAH ALAM,30 SEPT: Pasukan Pilihan Selangor menamatkan kemarau selama tiga tahun berturut-turut untuk kembali menjulang Piala Sultan Selangor edisi ke-11 selepas menumpaskan Pilihan Singapura 3-1, di Stadium Shah Alam, malam tadi.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk turut serta dalam menyaksikan perlawanan itu dan menyampaikan piala pertandingan kepada pasukan Pilihan Selangor yang turut membawa pulang wang tunai RM50,000.

Turut mengiringi baginda Sultan Sharafuddin adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kali terakhir pasukan Pilihan Selangor menjuarai kejohanan itu pada 2008 dengan keputusan 3-1 melalui penentuan sepakan penalti sebelum tewas pada tiga edisi berturut-turut iaitu 0-3 (2009), 0-6 (2010) dan 0-1 (2011).

Pasukan dari negara jiran itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi ketua pasukannya, Aleksandar Duric pada minit ke-23, yang menewaskan penjaga gawang Selangor, Norazlan Razali.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pilihan Selangor mengatur semula jentera serangan dan menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan kapten pasukan Safiq Rahim pada minit ke-32.

Pada babak kedua perlawanan, Selangor melakukan serangan bertali arus bagi melemahkan benteng pertahanan pasukan lawan.

Pilihan Selangor berjaya mengandakan jaringan pada minit ke-54 hasil jaringan yang dilakukan oleh pemain import, Bosko Balaban.

Manakala, Mohd Rozaimi Abdul Rahman menambah duka Pilihan Singapura apabila menjaringkan gol ketiga untuk Selangor pada minit ke-88.

No comments:

Post a Comment