Tuesday, 25 September 2012

Rapat hubungan dengan pendengar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


MERAPATKAN hubungan dengan pendengar menjadi agenda utama setiap stesen radio demi mendaki carta teratas dalam bidang penyiaran negara. Justeru, pelbagai acara diatur sepanjang tahun bagi menjalin kemesraan dengan pendengar di seluruh negara.

Pada 27 hingga 29 September ini, radio IKIMfm menganjurkan Karnival Mahabbah IKIMfm di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan. Ia adalah kesinambungan program sama yang pernah diadakan pada tahun sebelumnya bagi merapatkan silaturahim dengan pendengar di pantai timur. 


Karnival Mahabbah IKIMfm adalah anjuran bersama radio IKIMfm, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ)-Johor Corporation dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam, Perbandaran Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC). Mendapat tajaan bersama KPJ Perdana Specialist dan Majlis Agama Islam Johor. 

Majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan pada 29 September, jam 11.00 pagi.



Ketua Pengarah IKIMfm, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, karnival itu dianjurkan bertujuan mendekatkan pendengar dengan IKIMfm melalui program berbentuk dakwah dan kerohanian.



“Memberi peluang kepada masyarakat umum memperoleh maklumat terkini peranan agensi kerajaan berkaitan kesedaran sosial, pencegahan jenayah serta produk dan peluang bisnes melalui kaunter pameran dan memberi peluang kepada industri dan usahawan mempromosi serta memasarkan produk secara terus kepada pelanggan. 

“Objektif lain menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan dan seterusnya melebarkan jaringan bisnes masing-masing. Selain mengetengahkan penyampai IKIMfm kepada masyarakat. 

“Karnival seperti ini akan diadakan secara berterusan setiap tahun kerana ini antara cara terbaik untuk membalas semula kesetiaan pendengar radio ini. Selepas Kelantan, kami akan beralih ke destinasi lain pula. 

“Selain daripada fungsi sebagai mempromosikan radio IKIMfm, Karnival Mahabbah IKIMfm 2012 ini juga diharapkan akan menjadi sebagai salah satu pemangkin kepada IKIMfm untuk lebih gigih lagi dan bersemangat dalam mengharungi cabaran tugas demi menobatkan IKIMfm sebagai saluran pilihan utama anda,” katanya. 

Karnival Mahabbah kali ini juga akan membabitkan beberapa aktiviti Seminar Media Baru dan Pengendaliannya Menurut Perspektif Islam, Islam Agamaku (siaran langsung), Forum Bicara Ad-Deen (siaran langsung), Nasyid On Stage, Konsert Mahabbah IKIfm yang menampilkan Ustaz Akhil Hayy, Rabbani, Un-One dan Man Raja Lawak, Pesona D’Zahra (siaran langsung) dan program yang memfokuskan kepada golongan remaja iaitu Program Remaja@IKIMfm. 

Manakala program lain seperti pertandingan Nasyid Adik-adikku dan Pertandingan mewarna bersama Upin & Ipin diatur khusus untuk golongan kanak-kanak sekolah. Orang awam dijemput hadir dan masuk adalah percuma. Karnival akan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

No comments:

Post a Comment