Thursday 27 September 2012

Sasar 8,000 usahawan setahun


Mohd Rosdi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARAMohd Rosdi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA
MARA mahu lahirkan 500 jutawan tulen menjelang 2015

Kuala Lumpur: MARA menyasar melahirkan sehingga 8,000 usahawan baru setiap tahun bagi membolehkan agensi itu mewujudkan 500 usahawan Bumiputera berstatus jutawan tulen menjelang 2015. 
Langkah itu penting bagi membolehkan negara memiliki kumpulan usahawan yang berkebolehan mengurus perniagaan dengan lebih berdaya maju dan mampu bertahan dalam pasaran domestik dan antarabangsa meskipun terpaksa berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu. 
"Semua usaha dilaksanakan MARA menerusi pendekatan bersepadunya termasuk mengenal pasti industri yang berpotensi untuk diceburi” - Mohd Rosdi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd Rosdi Ismail, berkata sasaran itu juga bertujuan bagi memastikan adanya kelangsungan pembangunan sosio ekonomi Bumiputera.

“MARA kini sedang rancak melahirkan usahawan berstatus jutawan tulen selain daripada memantapkan lagi usahawan baru yang memerlukan bimbingan.

“Kita menyasar untuk melahirkan 500 usahawan jutawan tulen yang mampu menjana pendapatan syarikat tidak kurang daripada RM4 juta setahun men-jelang 2015.

Kukuh program 
“Kini 139 usahawan sudah berjaya dibentuk,” katanya dalam satu temu bual dengan BH dan Metro, di sini, semalam. 

Bagi merealisasikan sasaran itu, Mohd Rosdi berkata, MARA terus menumpu dan mengukuhkan program pendidikan dan pembangunan usahawannya.

Beliau berkata, agensi itu juga akan meluaskan lagi rangkaian jaringan dan kerjasama perniagaan dengan jabatan dan agensi kerajaan, industri dan komuniti setempat secara lebih bersepadu, menyeluruh dan berterusan.

“Semua usaha dilaksanakan MARA menerusi pendekatan bersepadunya termasuk mengenalpasti industri yang berpotensi untuk diceburi, menyediakan premis dan tempat melaksanakan perniagaan. 

“Agensi juga menekankan usaha bimbingan bagi membantu usahawan mengeluarkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai kebolehpasaran global bagi pasaran domestik serta luar negara,” katanya.

Dari aspek pembiayaan pula, Mohd Rosdi berkata, pihaknya sudah memperkenalkan tiga produk iaitu Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE), Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM) dan Skim Pembiayaan Groom Big (SPG) bagi membantu usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka.

Semua skim pembiayaan itu bagi membantu melahirkan usahawan berwibawa dan mampu menjana berpendapatan tinggi.

No comments:

Post a Comment