Tuesday, 11 September 2012

CUEPACS HARAP KERAJAAN BERI BONUS TERBAIK KEPADA PENJAWAT AWAM

KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen 28 Sept ini.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata sebelum ini CUEPACS memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.

"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini Ahad.

Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian, pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment