Thursday, 27 September 2012

Kolej RISDA tawar kursus Sarjana sesi 2012/2013


KUALA LUMPUR 25 Sept. - Kolej RISDA akan menawarkan pengajian di peringkat Sarjana terutamanya dalam bidang pertanian mulai sesi pengambilan 2012/2013.

Pengerusi Kolej RISDA, Dato' Wan Mohamad Zuki Mohamad yang juga Ketua Pengarah RISDA berkata, tawaran kursus peringkat Sarjana itu akan dilakukan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA.

Menurutnya, kursus peringkat Sarjana itu akan dibuka kepada mahasiswa-mahasiswa Kolej RISDA sendiri, kakitangan RISDA dan juga orang luar.

''Kita akan bekerjasama dengan MARA dan UMK dengan menawarkan kurusus peringkat Sarjana di kolej-kolej yang akan ditetapkan kelak. Ia berkemungkinan akan diadakan di Kolej-kolej Kemahiran Tinggi MARA.

''Terbaru, kita juga sedang mengintai peluang jika boleh bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi program peringkat Sarjana ini," katanya di sini sambil menambah usaha sedang dibuat untuk menaiktaraf Kolej RISDA kepada Kolej Universiti.

Katanya, kolej ini berazam menjadi institusi pendidikan yang serius, terkenal dan berupaya meningkatkan kedudukannya dalam senarai penarafan institusi pengajian tinggi di negara ini yang akhirnya muncul sebagai institusi pembelajaran yang mampu melahirkan modal insan yang berilmu, berkualiti dan kompeten.

Tambah Wan Mohamad Zuki, pihaknya juga telah membuka cawangan Kolej RISDA di Semporna, Sabah bagi memberi peluang pendidikan kepada anak-anak pekebun kecil luar bandar atau masyarkat luar bandar.

Bagaimanapun katanya, atas nasihat Kementerian Pengajian Tinggi, pihaknya dicadangkan hanya menawarkan kursus di peringkat sijil terlebih dahulu.

''Setakat ini kita belum berhasrat membuka lebih banyak lagi cawangan kolej itu kerana mahu memperkasa kolej-kolej RISDA yang sedia ada," katanya.

Selain Kolej RISDA, RISDA juga menyediakan peruntukan RM8.3 juta untuk Pembangunan Modal Insan melalui kursus-kursus yang dilaksanakan oleh tiga Institut Kemajuan Pekebun Kecil iaitu di Perak, Pahang dan Kelantan serta Pusat Latihan RISDA (RISTEC) di Port Dickson.

Ditanya mengenai peluang pekerjaan bagi lepasan Kolej RISDA, Wan Mohamad Zuki memberitahu, beliau sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan pihak swasta dan RISDA sendiri apabila memberikan pekerjaan kepada mereka.

''Rata-rata graduan Kolej RISDA mudah memperoleh pekerjaan kerana kita sentiasa memberikan pembelajaran dan latihan yang baik khususnya dalam bidang pertanian dan pengurusan ladang," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment