Wednesday 12 September 2012

KPTM lancar derma kilat


Pengerusi Kolej Poly Tech MARA, Datuk Sohaimi Shahadan ketika melawat tempat kejadian semalam turut melancarkan Tabung Prihatin Bencana Alam MRSM KKB untuk membantu mangsa terlibat.

Menurutnya, kutipan akan dibuat daripada sembilan kampus KPTM seluruh negara dan akan diumumkan pada majlis rumah terbuka KPTM, 13 September ini.

“Kita simpati dengan nasib pelajar yang sedang hadapi percubaan dan bakal menduduki PMR bulan depan.

“Justeru, kita ambil tindakan serta merta melancarkan derma kilat,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan; Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor, Mahmud Karim.

Malam kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar dan Adun Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim turut melawat pelajar terbabit bersama Pegawai Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) Hulu Selangor, Maznah Othman.

Libatkan tingkat tiga asrama lelaki

Kebakaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baharu, Selangor malam kelmarin hanya melibatkan tingkat tiga bangunan blok Asrama Putera (Lelaki).

Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ketika kejadian pada kira-kira 9.30 malam asrama itu kosong kerana pelajar keluar untuk mengikuti latihan tambahan.

“Kebakaran itu melibatkan 10 bilik iaitu sebahagian asrama yang terbakar... cuma tingkat atas satu blok yang terbakar. Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

“Keadaan adalah terkawal dan pihak bomba kini sedang menyiasat punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas Majlis Salam Aidilfitri Mara di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Beranang, semalam.

Katanya, pihaknya sedang membuat perancangan untuk memindahkan 430 pelajar terlibat ke kem PLKN berhampiran.

Katanya, malam kelmarin pelajar terbabit tidur di surau dan setakat ini kejadian itu tidak menjejaskan pelajaran pelajar terbabit.

“Walaupun pelajar ada ujian tapi tiada masalah besar untuk mereka meneruskan pelajaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment