Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 menunjukkan Malaysia berhadapan krisis sistem pendidikan walaupun ia tidak dinyatakan dengan jelas dalam laporan itu, dakwa Pengarah Pusat Inisiatif Polisi (CPI), Dr Lim Teck Ghee.
“Kita ada bukti dan ia dinyatakan di dalam pelan pembangunan ini,” dakwanya di forum Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dan Masa Hadapan Anak Anda di Kuala Lumpur, malam tadi.
“Saya terkejut mereka memberikannya begitu banyak perhatian tetapi tidak melabelkannya sebagai ‘krisis’,” kata Lim.
Memetik laporan itu, Lim berkata, Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) menunjukkan kualiti pendidikan Malaysia merosot sejak tahun 1999 sehinga 2007.
Namun, menurutnya, golongan terpinggir seperti Orang Asal, masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, golongan miskin bandar, kanak-kanak pelarian dan pelajar sekolah vernakular adalah mereka yang paling teruk terkesan dengan krisis itu.
Beliau mendakwa bahawa krisis itu berpunca daripada pengagihan sumber pendidikan yang tidak telus dan adil serta tidak dibincangkan secara kritikal.
Elit Melayu
Pembentangannya mencuri tumpuan hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur apabila menjadikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai contoh bagi menyokong dakwaannya.
Dakwa Lim, MRSM mewujudkan kelompok kecil elit Melayu yang mempergunakan sistem pendidikan dan meminggirkan Melayu arus perdana lain yang belajar dalam aliran utama persekolahan.
“Kerisauan saya adalah ini merupakan satu bentuk pendidikan elit yang disubsidi negara demi kepentingan orang Melayu.
“Orang Melayu perlu mempersoalkannya, bukan kami (kaum-kaum lain).
“Orang Melayu perlu buat kajian sama ada pelajar MRSM ini datangnya dari negeri-negeri Melayu yang miskin atau golongan pertengahan dan pertengahan atas Melayu dan keluarga
profesional yang menggunakan sistem ini demi kesinambungan manfaat dan keistimewaan untuk golongan Melayu ini,” katanya.
Kenyataan beliau mengundang pelbagai reaksi daripada pendengar forum.
Reaksi hadirin
Hussaini Abdul Karim mendakwa peruntukan MRSM yang dipetik Lim untuk dibandingkan dengan sekolah jenis lain tidak tepat kerana MRSM terletak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Lim bagaimanapun menegaskan bahawa angka tersebut tetap boleh dibuat perbandingan dengan peruntukan yang diberikan Kementerian Pelajaran kepada sekolah-sekolah lain.
Lim seterusnya mempersoalkan pelan itu yang menurutnya, tidak menumpukan kepada penghasilan graduan pengajian Islam universiti tempatan yang didakwanya tidak mempunyai tempat sesuai dalam sebuah masyarakat sekular Malaysia.
“Biar saya kongsikan perbualan saya bersama (seorang) pemimpin Umno,” katanya tanpa menamakan pemimpin Umno yang dimaksudkannya itu.
“Menurutnya hampir setiap hari beliau menerima delegasi graduan pengajian Islam dari universiti tempatan yang tiada pekerjaan, tidak dapat diambil bekerja, tidak tahu apa yang perlu dibuat atau harus ke mana.
“Mereka ini ibarat bom jangka yang kita perlu bincangkan secara terbuka,” katanya sambil menambah, jika tidak dipedulikan, mereka ini menjadi perubah halatuju kurang baik dalam masyarakat.
Matapelajaran sejarah
Beliau turut mengkritik pelan itu yang menjadikan matapelajaran Sejarah yang diolah bersifat politik sebagai subjek teras wajib lulus mulai 2014.
“Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan perubahan itu kena pada masanya hanya kerana beberapa kenyataan perkauman yang tidak sensitif dibuat tanpa memahami sejarah sebenar kita.
“Boleh anda bayangkan Sejarah dijadikan matapelajaran wajib lulus SPM hanya kerana masalah ini?,” katanya.
Beliau menggesa agar penafsiran sejarah dalam pelan itu diluaskan meliputi pihak-pihak selain daripada Umno.
“Ia adalah ujian litmus buat kerajaan yang mengambil kira sumbangan semua pihak dalam sejarah dan tidak memesongkan sejarah masyarakat itu sendiri,” katanya.
Bekas exco kerajaan Pulau Pinang dan pensyarah London School of Economics, Datuk Dr Toh Kin Woon pula berpendapat pelan itu masih belum mampu memanfaatkan sepenuhnya pendidikan sebagai alat memajukan diri dari segi sosial.
“Oleh itu bagi orang miskin, pendidikan bukanlah alat untuk memajukan diri dari segi sosial tetapi alat mengekalkan status sosial mereka demi manfaat golongan kaya dan berkuasa.
Golongan miskin
“Kerajaan perlu mengenalpasti golongan miskin dan masuk campur membantu berdasarkan kelas dan bukannya perkauman,” katanya.
Beliau turut sependapat dengan Lim berkenaan matapelajaran Sejarah yang dijadikan subjek wajib lulus bermula tahun 2014.
“Pelan pendidikan tidak perlu dipolitikkan dengan menjadikannya menyebelahi elit pemerintah.
“Contohnya, mereka sukatan Sejarah dengan memadamkan sumbangan banyak kumpulan lain yang penting dalam perkembangan sejarah negara ini,” katanya.
Kumpulan pro-PPSMI, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE),menerusi pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahman menegaskan akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan untuk memastikan agenda mereka turut diberikan perhatian dalam pelan itu.
“Kami akan tuntut perkara yang kami mahukan. Kami mungkin akan hantar memorandum kepada perdana menteri sebelum akhir tahun, ” katanya yang juga panelis forum tersebut.