KOTA BHARU 22 Mac - Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan sederhana perlu diberi sokongan dan peluang untuk mencipta kecemerlangan di peringkat lebih tinggi.
Pengarah Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Cawangan Kota Bharu, Mohamed Saifuddin Hussin berkata, pada masa sekarang, peluang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas dengan kewujudan pelbagai pusat pengajian tinggi termasuk swasta.
Beliau berkata, di KPTM, program pendidikannya dibentuk bagi membantu pelajar dengan pencapaian sederhana dan rendah, mendapat peluang kedua untuk berjaya dalam bidang akademik.
"Setiap pelajar mempunyai potensi diri masing-masing dan sebahagian besar mungkin belum digilap sepenuhnya semasa berada di sekolah.
"Dengan keputusan kurang cemerlang dalam SPM, mereka mungkin berasa telah gagal dan kita seharusnya membantu mereka.
"Sekiranya dididik dan diberi peluang, kita yakin ramai antara mereka sebenarnya berpotensi untuk menyerlah seperti rakan sebaya yang cemerlang di peringkat SPM," katanya pada Seminar Kaunselor bersama KPTM Kota Bharu di Dewan Kuliah kolej itu, di sini hari ini.
Mohamed Saifuddin berkata, sempena pengumuman keputusan SPM esok, seminar itu diharap dapat memperkenalkan kolej kepada warga pendidik dan memberi pendedahan mendalam tentang peluang pendidikan yang ada.
Beliau berkata, dengan sekurang-kurangnya tiga kredit dalam mana-mana mata pelajaran, lepasan SPM berpeluang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat diploma di KPTM.
Malah, katanya, mereka juga berpeluang cerah mendapat pinjaman pelajaran daripada Mara.
Katanya, terdapat tujuh kampus KPTM di seluruh negara dengan bilangan pelajar melebihi 15,000 orang, manakala dua kampus lagi dibuka pertengahan tahun ini.
Beliau memberitahu, KPTM Kota Bharu menawarkan lapan program termasuk Diploma Sains dan Pradiploma Sains (aliran fizik/hayat) yang merupakan usaha sama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
No comments:
Post a Comment