Wednesday 9 March 2011

Majlis Pembangunan Luar Bandar ditubuh

KUALA LUMPUR 8 Mac – Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Luar Bandar (MPLB) di setiap kawasan Parlimen dalam usaha mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, MPLB tersebut akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen untuk membolehkan mereka memantau perkembangan pelaksanaan projek.

“Selain memantau, MPLB juga akan memastikan perjalanan projek di luar bandar termasuk projek dari kementerian lain dapat diselaraskan dengan baik.

“Selepas ini, tiada ahli Parlimen yang boleh mengatakan mereka tidak tahu menahu tentang sesuatu projek rakyat yang dilaksanakan di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan dan Taklimat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Bersama Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di sini semalam.

Taklimat dan perjumpaan tersebut bertujuan menjelaskan peranan kementerian tersebut dan pencapaiannya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Tambah beliau, bagi kawasan Parlimen yang bukan di bawah Ahli Parlimen Barisan Nasional, MPLB akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN Bahagian berkenaan.

Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM100 juta bagi membantu kontraktor bumiputera untuk terus berdaya maju dan berdaya saing menerusi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata, skim tersebut diharap mampu menyelesaikan masalah pusingan modal yang sering dihadapi oleh kontraktor bumiputera selama ini.

Kata beliau, melalui skim tersebut Mara menyasarkan untuk membantu 1,980 kontraktor melibatkan kelulusan peruntukan sebanyak RM132 juta.

“Sejak diperkenalkan pada 1 Februari lalu, MARA meluluskan 122 permohonan dengan jumlah pembiayaan RM11 juta berbanding pada bulan sebelumnya (skim pembiayaan kontrak) iaitu RM4.5 juta dengan peningkatan 131 peratus.

“Menerusi skim baru ini, MARA menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 kepada kontraktor binaan kelas D, E dan F termasuk kontraktor bekalan, perkhidmatan dan elektrik,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Spike sewaktu perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Joseph Entulu Belaun; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ibrahim Muhammad; dan Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Mohd. Shafie, kadar keuntungan enam peratus yang dikenakan MARA adalah jauh lebih rendah berbanding agensi atau institusi kewangan yang lain.

No comments:

Post a Comment