Monday 14 March 2011

'Pelajar kita selamat' - Khaled

JOHOR BAHRU 12 Mac - Seramai 2,465 pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di Jepun dilaporkan selamat daripada bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, daripada jumlah tersebut kira-kira 300 pelajar berada dalam kawasan yang dilanda bencana itu.

Katanya, seramai 12 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Tohoku kini diletakkan di pusat pemindahan bencana dan berada dalam keadaan selamat.

"Terdapat pelajar kita yang menetap di Iwate masih tinggal di rumah masing-masing, namun kita sudah menasihatkan mereka untuk berpindah ke pusat pemindahan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pertemuan Nostalgia Bekas Pelajar English College (EC) yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar sempena majlis sambutan EC ke arah 100 tahun.

Difahamkan, daripada 2,465 pelajar, 1,327 merupakan pelajar tajaan kerajaan, 201 tajaan kerajaan Jepun manakala 937 orang pula membiayai sendiri pengajian mereka di sana.

Sementara itu, seramai 207 penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Jepun turut dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia berikutan kesemua penuntut terbabit tidak berada di kawasan gempa sebaliknya pusat-pusat pengajian mereka terletak jauh dari tempat berlakunya bencana.

Justeru, beliau meminta ibu bapa tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan anak masing-masing apatah lagi kedudukan penuntut Malaysia sentiasa diawasi dan dipantau oleh kedutaan di Jepun serta Wisma Putra di sini.

''Daripada 207 penuntut kita di sana, 131 berada di Tokyo manakala selebihnya berada di sekitar Tokyo. Jarak antara Tokyo dengan kawasan gempa juga adalah jauh.

''Saya minta ibu bapa tidak perlu bimbang. Tambahan pula Jepun merupakan sebuah negara yang sentiasa bersedia dengan setiap malapetaka dan saya juga dimaklumkan penduduk yang tidak berada di kawasan gempa telah mula menjalani kehidupan seperti biasa,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan MARA Peringkat Kebangsaan 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment