Wednesday 2 March 2011

MARA catat kenaikan untung tahun lalu

2011/03/01

PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menunjukkan peningkatan dari segi keuntungan pelaburan melalui anak-anak syarikatnya pada tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Ibrahim Ahmad, berkata margin keuntungan 2010 meningkat 3.31 peratus yang disumbang oleh keuntungan dari syarikat komersial dan perkhidmatan dan latihan. "Perolehan syarikat 2010 meningkat 29 peratus, iaitu daripada RM585 juta pada tahun sebelumnya, kepada RM754 juta. "Untung sebelum cukai 2010 meningkat 371 peratus, iaitu daripada RM8.9 juta pada tahun sebelumnya, kepada RM41.5 juta.

"Ini petunjuk awal bahawa MARA mampu menjadi pertubuhan berasaskan keusahawanan serta menjadikan sektor pelaburan penggerak utama aktiviti dan program MARA," katanya pada majlis penutup persidangan Pelan Transformasi MARA di sini hari ini.

Persidangan itu ditutup oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Ibrahim berkata, beliau berharap sekiranya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima cadangan penstrukturan MARA, agenda besar MARA akan dapat diteruskan demi kepentingan orang Melayu.

Katanya, beberapa pendekatan dan program juga telah dilaksanakan untuk memastikan sumber manusia dalaman MARA bersedia untuk menggerakkan pelan transformasi.

"Antaranya ialah program Kumpulan Bakat, program eksekutif Kanan, dan kerjasama dengan pelbagai agensi di dalam Program Cross-Fertilization."

"MARA juga akan berusaha untuk merekrut pekerja paling cerdas supaya dalam tempoh lima tahun lagi pelapis di bawah Pelan Penggantian Terancang (PPT) benar-benar bersedia serta berwibawa untuk menggalas transformasi ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment