KUALA LUMPUR 1 Mac - Majlis Amanah Rakyat (MARA) mahu melahirkan seramai 18,000 usahawan bumiputera setiap tahun, mulai tahun ini dalam usaha memartabatkan kedudukan orang Melayu menjelang 2020.
Pada masa sama, agensi itu juga akan memperkukuhkan seramai 100 usahawan sedia ada selain menyalurkan pembiayaan peniagaan berjumlah RM220 juta kepada 3,300 usahawan Melayu setiap tahun, juga mulai tahun ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sasaran tersebut adalah sebahagian daripada program transformasi Mara bagi memastikan masyarakat bumiputera tidak lagi ketinggalan.
"MARA menggariskan empat bidang kritikal dalam pelan transformasinya mulai tahun ini iaitu pendidikan; keusahawanan; pelaburan serta pengurusan dan sasaran tersebut adalah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang perlu dicapai.
"Di bahu agensi inilah terletak harapan yang amat tinggi untuk kita menjayakan agenda mendaulatkan kedudukan bumiputera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari MARA Ke-45, di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Datuk Joseph Entulu Belaun; Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh serta Ketua Pengarah MARA, Ibrahim Ahmad.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, MARA juga akan menyumbangkan seramai 20,000 guna tenaga profesional dan separa profesional selain melahirkan 35,000 modal insan dalam bidang teknikal dan vokasional.
Selain itu jelasnya, agensi berkenaan juga akan membuat pengambilan seramai 10,000 pelajar baru setiap tahun untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi mengikuti pendidikan menengah berteraskan matematik dan sains.
Tambahnya, dalam aspek pendidikan juga, MARA akan menyediakan 100 pelajar cemerlang setiap tahun untuk dihantar melanjutkan pengajian ke universiti-universiti terbaik dunia dalam pelbagai bidang kritikal.
"Kita berharap golongan pelajar ini apabila kembali kelak, mereka mampu menyumbang dengan mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada golongan bumiputera, kita tidak mahu mereka terlalu bergantung kepada sektor awam dan swasta sedia ada," jelasnya.
Mengenai aspek pelaburan pula, Mohd. Shafie memberitahu, MARA menyasarkan setiap pelaburan yang mereka terokai, mampu memberi pulangan sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Pas yang sanggup menghina masyarakat peneroka Felda hanya kerana tidak menyokong perjuangan parti itu, Shafie berkata, orang Melayu sepatutnya tahu bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu memartabatkan kedudukan mereka.
Menurutnya, keupayaan UMNO dan BN terbukti melalui pelbagai pelan strategik dan menerusi Felda sahaja, ramai orang Melayu berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan malah, kini memegang jawatan penting dalam negara.
Sambil menyelar tindakan Pas, beliau berkata, parti itu sepatutnya menyokong dan mengiktiraf usaha kerajaan membimbing masyarakat bumiputera jika benar mereka berjuang demi Islam, memandangkan masih ramai peneroka yang majoritinya Melayu perlu dibantu.
"Ini bukan isyarat tetapi kenyataan (hanya UMNO dan BN mampu memartabatkan Melayu). Buatlah perbandingan antara usaha kerajaan dengan Pas dalam meningkatkan kualiti hidup orang Melayu. Buatlah perbandingan antara Felda yang kita urus berbanding Ladang Rakyat di Kelantan.
"Felda bukan sahaja antara GLC (syarikat milik kerajaan) terbaik dari segi pulangannya, malah modal pembangunannya juga diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Bank Dunia sebagai model terbaik untuk membasmi kemiskinan di negara membangun," katanya.
No comments:
Post a Comment