Thursday 3 March 2011

Pelatih berbakti kepada masyarakat

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN

utusanN9@utusan.com.my

Pelajar GiatMara membantu membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam di Kampung Sri Rompin, Jempol, baru-baru ini.


JEMPOL 1 Mac - Usaha mengasah bakat belia menjadi pemimpin berkebolehan dan mempunyai jati diri yang tinggi penting dan boleh dilakukan melalui pembabitan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri, Amer Rahmat berkata, galakan perlu diberi kepada belia agar mereka turut serta dalam semua aktiviti kemasyarakatan termasuk di peringkat kampung.

"Pelatih GiatMARA dan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Serting bersama penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan di Rompin baru-baru ini.

"Melalui aktiviti ini mereka dapat bergaul dengan masyarakat luar dan mampu menjadikan mereka lebih prihatin serta peka terhadap perkara yang berlaku di persekitaran mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas hadir pada Program Khidmat Masyarakat 1MARA: Komuniti Sejahtera di balai raya Kampung Sri Rompin dekat sini, baru-baru ini

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Samsulkahar Mohd. Deli yang turut menyampaikan sumbangan daripada usahawan MARA kepada 21 orang mangsa banjir di kawasan tersebut.

Menurut Amer, tanpa galakan serta dorongan berterusan dibimbangi golongan itu sukar bergaul dengan masyarakat luar dan terjebak aktiviti kurang sihat.

"Belia merupakan pelapis kepada negara pada masa akan datang. Oleh itu, peribadi, akhlak serta moral mereka perlu dibentuk dari sekarang agar mereka menjadi pemimpin pelapis yang lebih baik bagi meneruskan proses pembangunan," katanya.

Dalam pada itu pelatih GiatMARA, Maizatul Syahidah, 18, berharap agar program seperti itu diadakan secara berterusan pada masa depan.

"Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam program bersama masyarakat dan saya amat gembira apabila berpeluang membersihkan kawasan tanah perkuburan bersama penduduk kampung.

"Program seperti ini juga merupakan satu kaedah bagi menerapkan nilai-nilai murni di kalangan belia," ujarnya.

Bagi Mohd. Zaim Zain, 19, golongan belia seharusnya sentiasa menyiapkan diri untuk membantu insan yang memerlukan.

"Aktiviti yang dijalankan ini dapat mendidik kami untuk berbakti kepada masyarakat. Ia juga mengeratkan hubungan di antara pelatih dan masyarakat luar. Ini membuktikan kami tidak hanya mementingkan pengajian tanpa memandang dunia luar," ujarnya.

No comments:

Post a Comment