Thursday 24 March 2011

Pencapaian SPM catat peningkatan

MELAKA 23 Mac – Seramai 318 daripada 15,420 calon daripada sekolah kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan persendirian mendapat A bagi semua mata pelajaran dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Juliah Leman berkata, daripada jumlah tersebut, hanya 21 pelajar mendapat keputusan gred cemerlang (A+) dalam semua mata pelajaran SPM tahun lalu berbanding 12 pelajar pada 2009.

Menurutnya, berdasarkan sistem penggredan baru SPM itu menunjukkan bilangan pelajar yang memperoleh gred A meningkat seramai sembilan orang (0.05 peratus) berbanding 309 (2.34 peratus) pada 2009.

‘‘Sebanyak 21 buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus berbanding 19 pada 2009, manakala 39 buah sekolah melahirkan pelajar yang mencapai gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran berbanding 31 sekolah tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan SPM peringkat negeri, di sini hari ini.

Juliah berkata, sebanyak 73 buah sekolah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) kurang daripada 6.75 peratus, dua buah sekolah dalam kategori cemerlang, 18 dalam kategori baik dan 54 bagi kategori memuaskan.

Katanya, berdasarkan keputusan SPM tahun lalu, tidak ada sekolah di negeri ini yang diletakan dalam kategori berpotensi.

Beliau berkata, terdapat tujuh mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains mencatat peratus lulus melebihi 77 peratus, mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.4 peratus hingga 2.9 peratus.

Ujarnya, bagi lima mata pelajaran teras tidak termasuk Bahasa Melayu dan Sains ia mengatasi peringkat nasional dengan keputusan gred cemerlang (A+, A dan A-) sebanyak 0.36 peratus hingga 12.49 peratus.

‘‘Secara keseluruhannya keputusan SPM bagi peringkat negeri tahun lalu telah menunjukkan peningkatan dari segi kualiti kecemerlangan dari 2006 hingga 2010,” katanya.

No comments:

Post a Comment