KUCHING 23 Mac - Seramai 36 pelajar negeri ini mencapai keputusan berprestasi cemerlang tertinggi dengan mendapat gred A+ bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM ) 2010 yang diumumkan hari ini.
Pengarah Pelajaran Negeri, Abdillah Adam memberitahu, daripada jumlah itu, seorang calon mendapat 11A+, 25 calon mendapat 10A+ dan 10 calon (9A+).
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan prestasi calon SPM bagi 2010 melonjak jauh lebih baik berbanding sembilan orang pada tahun sebelumnya.
"Bilangan pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran turut meningkat iaitu 673 calon berbanding hanya 506 pada tahun sebelumnya.
"Sementara itu, lima buah sekolah mencatatkan prestasi cemerlang dengan kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching, SM Sains Miri, Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching dan (MRSM) Betong," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Seramai 39,322 calon di Sarawak menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu dengan 36,000 atau 91.55 peratus adalah calon sekolah, 225 orang (0.57) calon agensi lain, 600 orang (1.53 peratus) calon sekolah swasta manakala 2,497 orang (6.35 peratus) adalah calon persendirian.
Dalam pada itu, Abdillah berkata, seramai 32,352 atau 91.78 peratus daripada 35,249 orang calon SMK berjaya memperoleh sijil SPM dengan memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.
"Jumlah pelajar yang mendapat sijil SPM di negeri ini meningkat sebanyak 0.27 peratus berbanding 2009 dan turut mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan yang mencatat hanya 91 peratus," jelas beliau.
Katanya, keputusan bagi calon sekolah dihantar kepada semua pengetua sekolah menerusi Pegawai Pelajaran Daerah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang manakala calon persendirian pula melalui pos.
Tambahnya, calon yang ingin membetulkan maklumat peribadi, menyemak semula atau mengemas kini keputusan perlu berbuat demikian selewat-lewatnya 22 April ini dengan bayaran semak sebanyak RM50 bagi setiap kertas atau mata pelajaran.
No comments:
Post a Comment