Wednesday 9 March 2011

Kementerian Luar Bandar dan Wilayah capai sasaran NKRA

KUALA LUMPUR 8 Mac – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjaya membina jalan sepanjang 207.7 kilometer (km) sehingga 31 Januari lepas, yang merupakan sebahagian daripada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menyediakan Infrastruktur Asas Luar Bandar di seluruh negara.

Menteri kementerian berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, pembinaan itu satu pencapaian memberangsangkan dan kementerian pada tahun ini perlu menyiapkan lagi 697.4km jalan untuk mencapai sasaran menyiapkan 905.12km jalan termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

"Daripada jumlah 207.7km ini, 44.50km melibatkan jalan raya di Sabah, 37.37km di Sarawak dan 125.86km di Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini hari ini.

Mengenai bekalan elektrik di luar bandar, kementerian berjaya menyediakan bekalan elektrik kepada 99 rumah di Semenanjung Malaysia sementara bagi kawasan perumahan di Sabah dan Sarawak, ia masih lagi dalam proses dan dijangka dapat dibekalkan pada tahun ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment