Tuesday 8 March 2011

Pentingkan kepuasan dalam kerja, jangan hanya material - PM

PUTRAJAYA 7 Mac - Penjawat awam sepatutnya mencari kepuasan dalam bekerja dan bukannya mementingkan pulangan material semata-mata supaya perkhidmatan yang ditawarkan mampu memberi kesan yang baik kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika bekerja, mereka seharusnya menekankan kepada sumbangan yang diberikan kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

"Inilah kepuasan yang paling abadi kepada diri kita apabila khidmat bakti kita membawa kepada kebaikan, lebih-lebih lagi ia selaras dengan konsep ibadat dalam Islam.

"Semoga kita anggap ini sebagai satu perjuangan yang ganjaran abadinya bukan semasa hayat kita tetapi apabila kita tiada lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Persaraan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kewangan di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Pada majlis itu, seramai 40 orang pegawai dan kakitangan yang bersara sejak bulan April 2008 hingga semalam diraikan.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, tuntutan tersebut adalah selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan perubahan dalam mengurus dan mentadbir negara ini.

Beliau menambah, perubahan tersebut juga menuntut kepada cara penjawat awam bekerja sebagai sebuah kerajaan.

"Saya telah menekankan bahawa kerja-kerja yang kita lakukan itu seharusnya berdasarkan kepada cara pengurusan yang boleh kita ukur nilainya. Ia juga boleh dijadikan sebagai penanda aras terhadap pencapaian kita," katanya.

Sebab itu beliau berkata, konsep Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diperkenalkan sebagai pendekatan pengurusan kerajaan secara menyeluruh yang belum pernah dicuba oleh mana-mana kerajaan.

"KPI ini menjadikan kita lebih fokus dalam kerja kerana kita tahu hala tuju dan perkara yang patut dilakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment