Thursday, 3 March 2011

Pameran pengantin pikat golongan muda

JEMPOL 2 Mac - Pameran pengantin yang diadakan di ruang legar bangunan Arked MARA Bandar Seri Jemol dekat sini menarik minat orang ramai bagi mendapatkan pelbagai khidmat nasihat dan tempahan untuk hari bahagia masing-masing.

Pengerusi Pameran Pengantin 2011, Habibah Tambi berkata, sebanyak lima pusat andaman sekitar daerah ini mengambil bahagian dan sambutannya amat baik sekali.

"Program ini dianjurkan oleh Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Mahsan di sini bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA)," katanya dekat sini semalam.

Jelasnya, pameran itu bertujuan mempromosi perkhidmatan andaman dan bangunan Arked MARA selain menawarkan pelbagai pakej untuk pilihan pelanggan.

"Kita telah mengadakan pameran pelamin, gubahan hantaran, demonstrasi solekan, pertandingan pengantin anggun dan gubahan lipatan tuala serta sirih junjung selain mewarna dan karaoke," ujarnya.

Kata Habibah, bagi pertandingan pengantin anggun, setiap juru andam dikehendaki menyolek dua orang model mereka.

"Jika sebelum ini juru andam akan menyolek pengantin di dalam bilik, tetapi kali ini mereka harus mempamerkan bakat di hadapan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Norehan Abd. Majid dari Salon dan Andaman Ann berharap agar ada kesinambungan daripada program itu selepas ini.

"Pameran ini seperti pusat sehenti dan memudahkan bakal pengantin memilih keperluan yang mereka mahu untuk melangsungkan perkahwinan. Ia praktikal dan dapat mempromosikan perkhidmatan yang kami tawarkan," katanya.

Mengenai pertandingan solekan, Norehan berkata, ia dilakukan berdasarkan kepakaran dalam bidang solekan.

Selain andaman jelas usahawan itu, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan juru gambar, hiasan meja, salon dan karaoke.

No comments:

Post a Comment