Wednesday, 2 March 2011

200,000 dijangka kunjungi Karnival Pendidikan MARA 2011

ALOR SETAR 1 Mac - Lebih 200,000 orang dijangka mengunjungi Karnival Pendidikan MARA (KPM) 2011 yang bakal berlangsung di seluruh negara bermula hari ini di bandar ini dan akan berakhir di Ipoh, Perak pada 10 April ini.

Pengarah Kanan MARA, Mansor Puteh berkata, sasaran tersebut mampu dicapai memandangkan terdapat dua lagi lokasi baru karnival diperkenalkan tahun ini iaitu di Kota Bharu dan Ipoh, berbanding hanya enam lokasi pada tahun sebelumnya.

Katanya, KPM 2011 itu juga sangat bermanfaat kepada lepasan sekolah khususnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran.

"Ia juga berdasarkan kepada kesedaran ramai untuk mendapatkan maklumat tentang apakah produk yang disediakan melalui karnival ini.

"Melalui KPM 2011, para pelajar khususnya dapat bertemu secara langsung dengan wakil institusi yang mengambil bahagian untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kursus yang diminati," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

KPM 2011 bagi zon utara berlangsung di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini selama dua hari dengan penyertaan lebih 73 institusi pengajian tinggi dan swasta termasuk institusi pendidikan Mara serta agensi berkaitan pinjaman pelajaran.

Ia akan turut diadakan di Johor Bahru, Johor pada 5 dan 6 Mac; Kuala Lumpur, (11,12, 13 Mac), Kuala Terengganu, Terengganu (15, 16 Mac), Kota Bharu, Kelantan (19, 20 Mac), Kuching, Sarawak (25, 26 Mac), Kota Kinabalu, Sabah (29, 30 Mac) dan Ipoh, Perak (9, 10 Mac).

Mansor menambah, selain pameran pendidikan pengisian karnival juga membabitkan khidmat runding cara, informasi program pengajian, temuduga terbuka, ceramah kerjaya serta seminar.

"Dengan konsep road show KPM 2011 diharapkan dapat menjadi pusat sehenti kepada para pelajar dan ibu bapa untuk mengambil peluang meninjau maklumat tentang pendidikan dan latihan disediakan oleh MARA serta IPT lain," katanya lagi.

Katanya, karnival tahun ini juga lebih meriah dengan penyertaan IPT dari luar negara seperti United Kingdom, Australia, Perancis, Indonesia dan Mesir.

"Penyertaan IPT dari negara tersebut adalah yang pertama tahun ini bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat tentang kursus yang ditawarkan di situ," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, kata Mansor, pihak MARA akan menyediakan lebih 13,347 tempat bagi pengambilan pelajar sesi Julai ini membabitkan semua institusi pengajian MARA di seluruh negara.

"Kemasukan ini melibatkan Kolej Profesional MARA dengan 1,803 pengambilan, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (1,004), Institusi Kemahiran MARA (3,800), Kolej Poly-Tech MARA (1,655), German Malaysia Institute (576) dan Universiti Kuala Lumpur (4,509).

"Lepasan sekolah yang berminat untuk mendapatkan maklumat tentang kemasukan ini boleh mengunjungi karnival ini," katanya.

No comments:

Post a Comment