POPULAR disebut hijabista, fesyen berhijab sedang meluas dan semakin menyesap menjadi identiti baharu dalam kalangan gadis-gadis dan wanita muslimah ketika ini. Ia cantik dipandang, mudah digayakan, urban dan lebih penting lagi, ia fesyen menurut syariat Islam.
Mengundang lebih tarikan, penghijrahan ramai selebriti cantik untuk kembali kepada fitrah menjadikan fesyen berhijab satu gejala sihat. Nama-nama seperti Natasha Hudson, Catriona Ross, Haryati atau Yatt Hamzah, Farah Asyikin, Aida Khalida, mereka itu sebahagian daripada teladan indah.
Seiring juga dengan sambutan Maal Hijrah 1434H yang baru diraikan Khamis lepas, Sensasi Bintang menggandingkan si cantik yang bertudung litup, Heliza Helmi dan Yatt Hamzah untuk berkongsi ilmu. Mereka bercakap tentang Festival Hijab 2012 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 23 November ini di Anggerik Mall, Shah Alam.
Tidak sekadar menjadi penyeri kepada pengisian ekspo tudung yang dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Nasyeed Eduatiment Sdn. Bhd. itu, Heliza secara rasmi dilantik sebagai ikon festival manakala Yatt pula akan menjadi sebahagian wajah yang akan mengisi pelbagai aktiviti sepanjang festival.
SENSASI BINTANG: Boleh nyatakan peranan yang dimainkan oleh kalian berdua dalam festival itu.
HELIZA HELMI (H): Saya dilantik sebagai ikon festival berkenaan. Sebenarnya ramai lagi kawan artis lain terlibat seperti Catriona Ross, Diana Amir, Noryn Aziz, Enot dan Salima AF. Kami bukan sahaja akan menjadi ejen promosi kepada festival terbabit malah akan turut serta dalam aktiviti percambahan ilmu di sana. Di sana nanti akan ada 60 buah gerai termasuklah gerai para artis yang akan membuat lelongan amal. Jualan amal pula akan disumbangkan kepada badan kebajikan.
YATT HAMZAH (Y): Saya akan turun padang sebagai pengacara sepanjang festival berlangsung, selain itu bertindak sebagai salah seorang panel dalam beberapa slot aktiviti yang dijalankan contohnya untuk aktiviti kanak-kanak menghiaskan ibu masing-masing, slot uji minda, slot Anakku Soleh serta satu forum bertajuk Anak Solehah. Pada 24 November pula ada acara perasmian dan jangan lupa untuk datang tengok demonstrasi buat kek bersama Enot.
Bagaimana sambutan umum festival berkonsepkan keislaman itu?
H: Jika dimanfaatkan dengan betul, program sebegini dapat mengukuhkan ukhuwah sesama insan, lebih penting lagi ikatan dalam sesebuah keluarga kerana ia boleh menjadi aktiviti hujung minggu. Satu hal lagi, festival ini juga satu medan percambahan ilmu. Boleh jadi juga satu bisnes yang bagus untuk galakkan kempen bertudung. Jalan risau, majlis ini dipantau sepenuhnya oleh pakar yang arif dalam Islam.
Y: Saya baru tujuh bulan mengenakan tudung. Majlis berkonsepkan keislaman memang sangat memberangsangkan terutamanya apabila melibat wanita dan pakaian muslimah. Kami umpama ejen-ejen promosi yang menjalankan amanah tanpa bertentangan syarak. Ini kira semacam tarbiah bahkan satu dakwah secara langsung.
Heliza sudah bertudung sebelum popular manakala Yatt pula antara artis yang baharu dalam aliran ini. Bagaimana kalian mengenakan fesyen berhijab ketika ini?
H: Sekarang ada macam-macam stail tudung sampai tak terikut. Saya suka jenis yang simple. Saya juga lihat ia perkembangan yang baik, saya sendiri buka butik Heliza Helmi Hijab dan sediakan tutorial pemakaian tudung.
Y: Perkembangan fesyen hijab sangat berwarna-warni, yang penting ialah berhijab. Ini juga peluang artis seperti kami untuk ajak peminat mendekati fesyen hijab, biarpun bertudung tapi masih boleh kelihatan cantik dan bergaya. Bisnes pakaian muslimah dan tudung pun makin kencang sekarang.
Pemerhatian kalian terhadap rakan-rakan artis yang semakin ramai mengenakan hijab?
H: Syukur, sangat gembira dan istiqamah tanpa henti. Saya bersama kelompok yang dinamakan usrah giat dengan aktiviti keagamaan setiap minggu. Di situ kami tetapkan matlamat hidup, dunia dan akhirat. Bila matlamat kita sudah tetap, barulah hidup kita tersusun cantik. Bagaimanapun kita tetap manusia biasa.
Y: Dahulu jarang ada kawan-kawan yang tegur bila kita tergelincir, sekarang kami bersama-sama macam sebuah keluarga. Kalau yang ada tergelincir, kita sama-sama tegur. Saya nampak ia satu perkembangan yang sangat murni. Heliza pula macam ustazah kepada saya.
Ada artis yang dahulunya bertudung kemudian buat penampilan semula dengan imej dedah aurat. Komen kalian?
H: Ada satu doa, antaranya berbunyi 'apabila kita diturunkan hidayah, janganlah ia dibolak-balik'. Semua orang boleh dapat hidayah tapi tak semua boleh dapat taufik. Kita doakan yang baik-baik semoga individu berkaitan diberi lebih kekuatan. Kita tak boleh tuding satu jari, sebalik-sebalik tuding sepuluh jari untuk bantu dan beri sokongan. Perkara sebegitu boleh jadi kepada diri sendiri juga.
Y: Apabila ia terjadi kepada artis, orang mudah nampak, tapi itu urusan individu berkaitan dengan Allah. Semoga dia diperkuatkan hati, sebab kalau kurang ilmu, apa jua perkara boleh berlaku. Sebab itu juga, kalau nak berubah tak boleh sendirian. Macam kita tengok ucapan Pierre Andre semasa Anugerah Skrin baru-baru ini, rasanya Pierre sekarang sealiran dengan kami semua.
Sempena Maal Hijrah 1434H tahun ini, apa resolusi pertama kalian?
H: Banyak lagi hijrah yang perlu saya lakukan, pertama sekali, hijrah hati. Macam teko yang berisi air. Warna air yang dituangkan ke dalam cawan sama dengan warna air di dalam teko. Jadi, hati kena betul. Saya mahu jumpa Rasulullah SAW dan masuk syurga Allah SWT. Mahu hidup bahagia lagi membahagiakan. Islam itu syumul, saya sentiasa kena muhasabah diri.
Y: Hijrah itu perpindahan. Maal Hijrah tahun ini pula sangat bermakna buat saya yang baru menutup aurat ini. Syaitan itu masih banyak yang bergayut pada tudung saya dan ajak saya kembali buat benda negatif. Saya kena istiqamah, Islam itu mudah tapi tak boleh diambil mudah. Apa-apa pun hijrahkan diri sendiri dulu. Tunjukkan sikap dan peribadi yang cantik kerana Allah sukakan kecantikan.