Oleh AZIZI MAJID
Raja Nur Syahida Raja Abu Bakar (kanan) dan adik kembarnya, Raja Nur Syahira Raja Abu Bakar menunjukkan sijil yang diperoleh dalam Majlis Graduasi GiatMara Zon Selatan di UniKL MITEC, Bandar Seri Alam, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 24 Dis. - Seramai 431 pelatih GiatMara yang menamatkan pengajian memperoleh sijil masing-masing sempena Majlis Graduasi GiatMara Zon Selatan yang berlangsung di dewan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), Bandar Seri Alam di sini hari ini.
Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Zulbahri Hamzah dan disaksikan oleh Pengurus Besar GiatMara negeri, Khairuddin Hashim.
Menurut Khairuddin, kesemua penerima merupakan pelatih dari 13 Pusat GiatMara di negeri ini yang mengambil kursus antaranya teknologi sistem komputer, pendawaian elektrik, elektronik industri dan teknologi automotif.
"Kursus antara enam bulan hingga setahun ini mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang amat diperlukan oleh pihak industri di negara ini.
"Tidak dinafikan kebanyakan pelatih GiatMara memperolehi pekerjaan yang berkaitan dengan pengajian mereka, termasuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya di sini hari ini.
Khairuddin berkata, GiatMara kini turut menyediakan kursus jangka pendek bagi memberi peluang kepada orang ramai, termasuk mereka yang sudah bekerja mendapatkan latihan kemahiran pada hujung minggu atau waktu malam.
Bagi seorang pelatih, Raja Nur Syahida Raja Abu Bakar, 20, dia bersyukur kerana berjaya menamatkan kursus teknologi sistem komputer di GiatMara Gelang Patah.
"Apa yang lebih menggembirakan, adik kembar saya, Raja Nur Syahira yang mengambil kursus sama turut menamatkan pengajian dan menghadiri majlis hari ini. Kami bercadang mencari kerja yang berkaitan dengan bidang komputer kerana kami amat meminati bidang tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment