KUALA LUMPUR: Golongan muda khususnya anak Melayu yang mengusahakan gerai burger di Malaysia mempunyai kebolehan tersendiri serta berani berinovasi dengan menu mereka.
Sehubungan itu, kerajaan perlu lebih agresif membantu golongan ini secara menyeluruh kerana mereka pelapis yang mampu memberi impak besar kepada penjanaan ekonomi Malaysia.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pelbagai agensi kerajaan menyediakan bantuan untuk peniaga kecil dan sederhana tidak kira Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Pertanian dan lain-lain, namun prosedur tidak begitu diketahui umum.
Ketika ini, beliau melihat potensi besar pada kebanyakan peniaga burger tempatan di tepi jalan, malah mengakui burger disediakan peniaga berkenaan lebih enak berbanding menu import.
Namun, kata beliau, golongan ini tidak memperoleh banyak pendedahan mengenai bantuan disediakan kerajaan menyebabkan kebanyakannya tidak mengembangkan perniagaan mereka.
“Kebanyakan perniagaan burger di Malaysia terutama di tepi jalan lebih banyak diusahakan belia Bumiputera, rasanya lebih 90 peratus dijalankan mereka.
“Dalam hal ini, kerajaan perlu memberi lebih tumpuan dalam menyalurkan segala bentuk bantuan tidak kira dari segi latihan, kewangan atau lain-lain,” katanya.
Menurut Ridzuan, dari segi prosedur mendapatkan lesen dan sebagainya, rata-rata masalah dihadapi peniaga burger Bumiputera membabitkan kewangan.
No comments:
Post a Comment