Tarikh: November 30, 2012
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan sepenuhnya agenda pembangunan Bumiputera.
GLC juga perlu diminta mempercepatkan proses penjualan anak-anak syarikatnya yang tidak kritikal kepada usahawan Bumiputera yang berdaya maju dan berkeupayaan.
Perkara itu disentuh wakil Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh ketika membentangkan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini hari ini.
"Mereka tidak harus sekadar melakukan aktiviti bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat," tegas Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut.
Ia antara sembilan ketetapan yang digariskan dalam usul itu dalam menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi secara inklusif.
Idris yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut mencadangkan supaya kerajaan memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera dengan penubuhan pusat setempat sebagai pemudah cara dan pemberi khidmat nasihat dalam bidang pembiayaan, pemasaran serta pengurusan syarikat.
Menurutnya, penubuhan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah memberi kesan positif dalam membangunkan ekonomi Bumiputera serta menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang ekonomi baharu.
Jelas beliau, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang bagaimana kerajaan meletakkan ekonomi negara di atas landasan yang betul dan mengurusnya dengan baik sehingga membolehkan rakyat menikmati hidup selesa.
"Lebih 100,000 rakyat Malaysia menunaikan umrah setiap tahun, aktiviti melancong, memiliki kereta merupakan perkara biasa. Mereka juga dapat menghantar anak belajar ke luar Negara.
"Ibadah korban dapat dibuat hingga ke luar negara, bantuan kemanusiaan juga dapat disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan. Ini semua kerana berkat usaha Umno dan Barisan Nasional," katanya.
Selain itu, kata Idris, Skim Pembiayaan Mikro untuk usahawan kecil perlu diperkasa melalui penambahan peruntukan untuk Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).
"Skim ini banyak membantu usahawan kecil di luar bandar dan kadar bayaran balik pinjaman juga dilihat menggalakkan," katanya.
Idris turut berkata pengiktirafan kerajaan terhadap Wakaf Korporat akan mengangkat sektor sukarelawan korporat untuk menjadi instrumen baharu dalam menjana ekonomi negara.
Menyentuh sektor perumahan, Idris berkata usaha kerajaan untuk memastikan harga rumah terkawal selain meringankan beban hidup rakyat melalui pelbagai program perlu disokong semua pihak. - Bernama
No comments:
Post a Comment