KUALA LUMPUR 29 Sept. - Golongan peniaga dan penjaja kecil di negara ini kini berpeluang mendapatkan pinjaman melalui kaedah yang lebih mudah dengan hanya mengisi sekeping borang permohonan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pinjaman yang ditawarkan melalui program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) itu dipermudahkan bagi membantu golongan tersebut memulakan perniagaan.
"Selain menawarkan pinjaman, kita permudahkan cara permohonan di atas sekeping kertas yang perlu diisi oleh pemohon.
"Kemudahan ini disediakan kerana kita sedar dan tahu bukan mudah untuk golongan ini mendapat pinjaman kewangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program UK Dinamik di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.
Skim bantuan perniagaan UK Dinamik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 September lalu menerima peruntukan awal kerajaan berjumlah RM50 juta.
Katanya, pengagihan pada peringkat pertama menawarkan pinjaman berjumlah antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada 10,000 usahawan kecil khususnya peniaga-peniaga di kawasan ibu kota.
"Program menawarkan Skim Pembiayaan Islam berkonsepkan kebajikan tanpa caj keuntungan dengan tempoh bayaran balik selama dua tahun," katanya.
Beliau berkata, peruntukan yang disalurkan dalam bentuk skim pinjaman itu akan dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Persatuan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (PPPKM) Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, kemudahan pinjaman dengan tempoh bayaran balik yang panjang itu akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.
"Pinjaman akan diperluaskan di Kuala Lumpur, Negeri Selangor dan ke tempat-tempat lain secara berperingkat untuk membawa golongan itu keluar daripada belenggu kemiskinan.
"Permohonan boleh dibuat melalui PPPKM yang bertanggungjawab mengenal pasti peniaga," katanya.
No comments:
Post a Comment