Friday, 30 September 2011

Gerbang Negeri: Skim bantuan tingkat ekonomi usahawan desa

KARNIVAL Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) baru saja melabuhkan tirai pada 25 September lalu selepas empat hari dianjurkan di Presint 2, Putrajaya. 

Ia menampilkan pelbagai produk keluaran sekitar 490 usahawan desa dan luar bandar yang terbabit dalam kegiatan pemprosesan makanan, herba, kraf tangan dan perkhidmatan.
Meninjau karnival berkenaan, kita boleh berbangga kerana usaha kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mewujudkan usahawan desa berjaya dengan bimbingan pelbagai agensi di bawah kementerian menampakkan hasil.
Jumlah keseluruhan usahawan di bawah KKLW mengikut perangkaan Rancangan Malaysia Kesembilan ialah 32,358 orang. 

Ia jumlah yang agak ramai dan semestinya cabaran yang diletakkan di bahu kementerian juga amat besar untuk memastikan mereka terbabit berjaya sekali gus mampu meningkatkan pendapatan dan mengembangkan ekonomi desa. 

Hasil temubual akhbar ini dengan beberapa usahawan yang mengambil bahagian dalam KUD 2011 juga mendapati rata-rata mereka gembira dengan pencapaian masing-masing dan berterima kasih kepada pelbagai agensi di bawah KKLW yang membimbing terutama dalam aspek kewangan dan latihan pengeluaran moden. 

Seperti kata pepatah Melayu, ‘perahu sudah di air, dayung sudah di tangan’, dengan pelbagai skim bantuan daripada kerajaan, peluang kini terbuka luas kepada masyarakat desa untuk ‘mendayung’ supaya ‘perahu’ sampai ke destinasi kejayaan. 
Antara bantuan yang ditawarkan di bawah Bahagian Pengupayaan Ekonomi KKLW termasuk Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang menyediakan pinjaman tanpa cagaran dan penjamin kepada usahawan desa antara RM20,000 hingga RM500,000; program latihan dan bimbingan usahawan, program pemasaran dan promosi, program infrastruktur perniagaan serta program komersial dan pelancongan desa. 

Selain itu, agensi di bawah KKLW seperti MARA, FELCRA Berhad, RISDA, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA); Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) turut mempunyai program membantu masyarakat desa menjadi usahawan sekali gus menggandakan pendapatan masing-masing. 

Begitulah banyak peluang disediakan kerajaan untuk mereka yang berkemahuan menjadikan keusahawanan sebagai budaya. 

Bagaimanapun, berikutan perkembangan semasa khususnya teknologi dan komunikasi, ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika merasmikan KUD 2011 wajar diberi perhatian. 

“Saya sedar bahawa mengubah ‘mind set’ dan sistem nilai sesebuah bangsa tidak mungkin dapat dicapai (dalam) satu generasi sebab teras kepada wujudnya budaya keusahawanan menuntut kepada perubahan ‘mind set’ dan sistem nilai kita kerana (perubahan) dari masyarakat petani kepada masyarakat (yang) lihat kepada kerajaan sebagai sumber pekerjaan dan rezeki kepada masyarakat (yang) melihat kepada pasaran sebagai peluang terbaik, tak mungkin dapat dicapai dalam satu atau dua generasi, (malah) lebih lama lagi,” antara kata Najib. 

Itulah cabaran besar KKLW dan usahawan desa bagi memastikan kejayaan yang mereka kecapi pada masa ini mampu bertahan malah lebih maju dengan suntikan inovasi, idea kreatif dan membuat pembaharuan serta penambahbaikan kaedah pemasaran dari semasa ke semasa. 

Kewujudan kerjasama perdagangan serantau seperti Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) memberi cabaran lebih besar kepada jenama, kaedah pemasaran, kuantiti pengeluaran dan daya saing produk desa. Sesuatu perlu bermula dari sekarang untuk perubahan atau kita terpaksa menghadapi risiko gulung tikar. 

Perubahan yang bukan semula jadi tanpa maklumat secukupnya lazimnya sukar diterima kerana fitrah manusia itu sendiri yang selesa dengan keadaan konsisten, lebih-lebih lagi selepas mempunyai kehidupan yang baik. Aspek itu juga menjadi cabaran besar KKLW dan agensi di bawahnya supaya menyediakan maklumat sebagai pencetus perubahan itu. 

Generasi pertama usahawan desa yang berjaya pada masa ini sudah meletakkan batu asas kukuh dalam usaha masing-masing dan sudah semestinya generasi kedua dan seterusnya perlu menyambung tetapi dalam persekitaran yang berbeza kerana kemajuan teknologi dan peningkatan kehendak pengguna. 

No comments:

Post a Comment