Monday, 12 September 2011

Asyraf Haziq terima bantuan RM110,000

2011/09/11

Pelajar Malaysia kena belasah di UK dapat simpati

Pelajar tajaan MARA, Asyraf Haziq Rosli, 20, yang cedera diserang dan disamun sekumpulan belia dalam rusuhan yang melanda ibu negara United Kingdom (UK), bulan lalu, menerima sumbangan kira-kira 22,000 pound sterling (RM110,000) daripada orang ramai yang bersimpati terhadap nasib menimpanya baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, 5,000 pound sterling (RM24,000) diserahkan kepada Jamie Cowen iaitu ejen menguruskan pengagihan bantuan kepada mangsa rusuhan di UK.

Sejumlah 18,000 pound sterling (RM86,000) pula saya simpan untuk tujuan pengajian dengan dilabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), katanya ketika ditemui selepas majlis dialog Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama rakyat Malaysia yang menetap di UK di Hotel Hyatt Regency London The Churchill di sini, kelmarin.

Pada majlis yang turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakaria Sulong, Asyraf Haziq turut meluangkan masa kira-kira 15 minit bertemu Muhyiddin yang bertanya-kan perkembangan terbaru pelajar itu.

Asyraf Haziq berkata, kehidupannya kini kembali normal dan keadaan kesihatannya juga kian baik.

Saya dah elok sekarang. Doktor kata dalam beberapa minggu lagi, rahang dan gusi saya akan pulih kira-kira 85 peratus. Cuma rasa ngilu pada bahagian gusi terutama apabila hari hujan atau sejuk, katanya yang patah gigi, bengkak pipi serta cedera pada rahangnya akibat serangan ganas itu.

Katanya, rasa ngilu pada gusi berpunca daripada logam yang diletakkan pada kedua-dua bahagian rahangnya yang cedera.

Timbalan Perdana Menteri bertanyakan perkembangan terbaru dan pengajian saya. Beliau juga menasihatkan supaya menguruskan betul-betul sumbangan yang diterima, katanya yang turut menerima surat daripada Perdana Menteri Britain, David Cameron, baru-baru ini yang memohon maaf atas apa yang berlaku.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan Muhyiddin berkata, tiga asas utama iaitu perpaduan, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi menjadi rahsia kejayaan Malaysia bertahan lebih lima dekad sebagai negara merdeka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebagai negara berbilang bangsa, rakyat menerima hakikat bahawa perpaduan kaum menjadi antara elemen penting yang perlu dipertahankan.

Sudah pasti tiada siapa pun boleh menyatakan kita sudah mencapai tahap perpaduan nasional sepenuhnya. Ini kerana pada hakikatnya, ia sentiasa dianggap sebagai kerja yang masih dalam pembikinan.

Namun, inspirasi itulah yang membolehkan kita berada dalam haluan betul serta mengukuhkan hubungan sesama kita, katanya.

Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke UK mulai Khamis lalu berkata, rakyat Malaysia terus hidup aman walaupun ada kalanya berdepan perdebatan isu perkauman dan agama hingga dilihat memecahbelahkan masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment