Thursday 8 September 2011

MARA wujud pakatan sedia dana

Oleh Ahmad Farizal Hajat

ahmadfarizal@bharian.com.my

Kerjasama dengan bank tempatan mampu tingkat jumlah pembiayaan


BAGI menyediakan dana pembiayaan lebih besar kepada usahawan Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhasrat mewujudkan pakatan dengan beberapa lagi institusi perbankan tempatan dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Ketua Pengarah MARA, Mohd Rosdi Ismail berkata, pakatan yang bakal diwujudkan itu akan membolehkan agensi itu meningkatkan jumlah penyediaan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera berbanding hanya RM500,000 sekarang.

“Ketika ini, menerusi Skim Jaminan Usahawan Bumiputera MARA (SJUM), MARA sudah pun menjalinkan pakatan dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd yang bertindak sebagai penyedia pinjaman, sementara MARA pula bertindak sebagai penjamin.

“Sejak diperkenalkan tahun lalu, skim itu telah mendapat sambutan hangat sekali sehingga memerlukan MARA memperbesarkan skop penyediaan pembiayaannya.

“Justeru, bersandarkan kepada situasi semasa, MARA berhasrat memperluaskan lagi skop pakatan yang diwujudkan bersama dengan Bank Muamalat dan beberapa lagi institusi perbankan tempatan yang lain bagi membantu meningkatkan sumber pembiayaan kepada usahawan Bumiputera,” katanya selepas mewakili MARA memeterai perjanjian persetujuan dengan Shapers Malaysia Sdn Bhd bagi penganjuran program Halal Fiesta Malaysia yang pertama (Halfest 2011), di Kuala Lumpur semalam.

Majlis itu disaksikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, dan Ketua Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

Bagi menjayakan hasrat pakatan bersama institusi perbankan berkenaan, Mohd Rosdi berkata, MARA buat permulaan ini, akan mengadakan rundingan dengan CIMB Islamic Bank Bhd tidak lama lagi kerana bank terbabit tertarik dengan program yang dianjurkan MARA, khususnya dalam penyediaan sumber pembiayaan untuk mewujudkan lebih ramai lagi usahawan global dari kalangan Bumiputera.

“Mereka (CIMB Islamic Bank) menawarkan diri untuk menjalinkan pakatan dengan MARA dan kami akan mengadakan perbincangan lanjut mengenainya tidak lama lagi,” katanya sambil menambah agensi berkenaan juga terbuka untuk mengadakan pakatan dengan institusi perbankan lain yang berminat.

No comments:

Post a Comment