Thursday 8 September 2011

Menunggu jawapan MARA

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Peniaga Kompleks Gurney masih kabur dengan status mereka sama ada akan dibenarkan berniaga di situ atau sebaliknya walaupun Majlis Amanah Rakyat (MARA) seolah-olah memberikan reaksi positif terhadap permintaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Peniaga dan Penyewa Kompleks Gurney, Muhammad Muszaki Mohd. Ozir berkata, mereka masih menunggu jawapan daripada MARA selepas perbincangan diadakan dengan agensi itu pada 13 Julai lepas.

"Kami memohon jaminan untuk berniaga di sini dengan mengekalkan kadar sewa lama dan memohon membuat perjanjian baru tetapi kami tidak tahu apa yang berlaku antara MARA dengan pengurusan kompleks itu.

"Difahamkan, MARA telah pun mengadakan pertemuan dengan pengurusan kompleks itu selepas berjumpa dengan kami," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Tambah Muszaki, setakat ini, peniaga perlu terus sabar menanti kerana setakat ini, tiada perkembangan terbaru tentang masalah peniaga di kompleks itu.

Beliau berkata, pada bulan Ramadan lalu, MARA telah membantu kesemua peniaga yang terbabit dengan membenarkan mereka berniaga di Bazar Ramadan Medan MARA.

Sementara itu, seorang peniaga Kompleks Gurney, Haslina Harrun, 46, berkata, dia bersyukur kerana MARA prihatin dengan masalah yang dihadapi mereka dengan membenarkan peniaga berniaga di Medan MARA.

"Langkah ini dapat mengurangkan beban kami walaupun hanya dibenarkan berniaga di bazar tersebut selama satu bulan sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment