PUTRAJAYA 22 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM50 juta untuk program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) yang akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan kecil di kawasan luar bandar.
Perdana Menteri berkata, peruntukan awal yang disalurkan dalam bentuk skim pinjaman itu akan dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Selain itu, selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS 4), kerajaan melancarkan Program Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng, Perak.
“RTC ini berfungsi sebagai pusat pembekalan agromakanan dan agribisnes yang menghubungkan pengeluaran dengan pengguna seluruh Malaysia dan ia dilakukan untuk memperhebatkan rangkaian pasaran produk desa,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) 2011 di Laman 1Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
KUD 2011 yang berlangsung selama lima hari bermula semalam menghimpunkan seramai 500 usahawan luar bandar.
Dalam ucapan yang sama, Najib turut menggariskan lima perkara dalam usaha menjadikan usahawan luar bandar sebagai pemain utama bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa.
Menurutnya, ia adalah meneroka bidang perniagaan baru yang berpotensi, mengenal pasti pasaran yang lebih besar, menyuntik elemen inovasi terhadap produk, mementingkan aspek penjenamaan dan menggunakan laman maya sebagai alat pemasaran.
“Saya ingin melihat usaha itu kita gilap semula, cari pendekatan baru, lahirkan idea lebih kreatif serta komitmen yang lebih daripada agensi kerajaan yang terbabit.
“Sebab kalau kita mencurahkan bantuan demi bantuan tetapi tidak lihat kepada keberhasilan, maka jelas kita tumpu kepada program atau input sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut lima perkara itu, Perdana Menteri berkata, meneroka bidang perniagaan baru yang berpotensi perlu bagi mengelakkan negara terperangkap dalam persaingan yang tidak memberi kesan besar kepada pulangan atau keuntungan jualan.
Selain itu, beliau menambah, kerajaan akan membantu para usahawan desa supaya mereka dapat dihubungkan dengan pasaran yang lebih besar.
“Usahawan desa mesti menyuntik elemen inovasi yang boleh mewujudkan permintaan baru dan juga mementingkan aspek penjenamaan kerana ia boleh menambah nilai jualan produk.
“Saya juga ingin menggalakkan usahawan desa menggunakan laman maya untuk menghubungkan mereka dengan pasaran yang lebih luas dan boleh membuat penilaian dari segi cita rasa bakal-bakal pelanggan,” katanya.
No comments:
Post a Comment