Friday 23 September 2011

Sasar jualan tunai RM1j di KUD

PUTRAJAYA 22 Sept. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan jualan tunai di Karnival Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) mencecah RM1 juta dengan tempahan produk bernilai RM3 juta membabitkan 3,000 jaringan perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, seramai 500 usahawan menyertai karnival tersebut dan mereka akan mempamer serta menjual empat produk utama iaitu makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Menurutnya, sejak dilaksanakan pada 2006, KUD berjaya meraih jualan tunai dan tempahan sebanyak RM2 juta serta mewujudkan lebih 3,000 jaringan perniagaan.

"Selain itu sebanyak 822 siri kursus latihan keusahawanan berjaya dilaksanakan sepanjang ia diperkenalkan melibatkan 21,946 peserta.

"Kementerian yakin KUD 2011 mampu menyemarakkan jiwa usahawan terutama mereka yang berada di luar bandar bagi meningkatkan daya saing, produktiviti dan kualiti pengeluaran sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian KUD 2011 di sini hari ini. Karnival tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Karnival lima hari yang berlangsung di Laman 1Malaysia Presint 2 itu bukan sahaja menjadi pentas kepada usahawan menampilkan produk keluaran mereka tetapi juga sebagai platform mencari pasaran baharu hingga ke peringkat global.

Menurut Mohd. Shafie, Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga menyalurkan RM1.65 bilion untuk program pembiayaan perniagaan dan RM157 juta kepada usahawan-usahawan luar bandar dalam bidang industri pembuatan, ternakan, pertanian, perkhidmatan dan pelancongan melalui Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

"Bantuan kewangan itu membuktikan keprihatinan kerajaan memberi bantuan kepada usahawan tempatan yang berani berdepan cabaran dalam sektor perniagaan dan ia juga berjaya melahirkan beberapa keusahawanan yang berjaya di negara ini," katanya.

Mohd. Shafie menasihatkan usahawan supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada satu-satu produk kerana penglibatan dalam pelbagai produk dengan kemahiran cetek akan menyebabkan kegagalan.

"Hanya dengan fokus kepada aktiviti teras, usahawan boleh membina kecekapan dan keupayaan untuk mengurus dengan bijak selain dapat mengukuhkan perniagaan.

"Setiap usahawan juga perlu memberi penekanan kepada konsep memuaskan kehendak pelanggan.

"Barangan atau perkhidmatan hendaklah bertepatan dengan citarasa pengguna selain sentiasa mengekalkan mutu barangan yang dihasilkan," katanya.

No comments:

Post a Comment