Tuesday, 20 September 2011

SpiKE dapat sambutan kontraktor Bumiputera

Oleh Mohd Zin Ali

mdzin@bharian.com.my

2011/09/17

Ramai puji kelulusan pembiayaan dalam sehari

SKIM Pembiayaan Kontrak Ekspres (SpiKE) yang diperkenalkan MARA sejak Februari lalu telah mengembalikan semula minat kontraktor Bumiputera untuk menggunakan khidmat pembiayaan disediakan agensi kerajaan itu.

Malah skim yang membantu kontraktor Kelas F, E dan D serta kontraktor bekalan, perkhidmatan dan elektrik mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000 dengan kelulusan pinjaman dalam tempoh sehari dan pemberian pembiayaan dalam masa tiga hari itu mendapat pujian pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd Rosdi Ismail, berkata skim yang dijenamakan semula daripada Skim Pembiayaan Kemudahan Kontrak itu mendapat sambutan menggalakkan melebihi sasaran ditetapkan.

Beliau berkata, dengan strategi dan inovasi di bawah skim itu, MARA berharap dapat melahirkan kontraktor Bumiputera berwibawa yang mampu berkembang sehingga ke kelas A.

“Sehingga 31 Julai lalu, MARA sudah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM163 juta kepada 1,951 usahawan melalui SpiKE berbanding hanya RM61 juta kepada 688 usahawan melalui Skim Pembiayaan Kemudahan Kontrak pada tempoh sama, tahun lalu.

“Bilangan usahawan yang mendapatkan kemudahan ini meningkat 183 peratus dengan jumlah kelulusan naik 165 peratus,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd Rosdi berkata, jumlah pembiayaan SpiKE sebanyak RM163 juta itu melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sepanjang tahun ini iaitu RM132 juta.

Beliau berkata, pihaknya dapat menyalurkan pembiayaan berjumlah lebih RM300 juta melalui SpiKE sehingga akhir tahun ini.

Bagi memastikan keberkesanan SpiKE, MARA melalui Bahagian Pembiayaan Perniagaannya akan membuat pemantauan dan kajian terhadap skim itu.

“Kita ingin melihat sama ada SpiKE yang diperkenalkan itu dapat membantu kontraktor Kelas F naik ke kelas lebih tinggi atau sekurang-kurangnya menjadi lebih baik dengan mempunyai pekerja lebih ramai atau menceburi bidang pembekalan bahan mentah,” katanya.

“Bagaimanapun, pemantauan atau kesan kajian ini hanya akan diketahui apabila berakhirnya tahun ini dengan secepat-cepatnya pada Januari depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment