KUALA LUMPUR 5 Sept. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam proses rundingan dengan CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic) untuk bekerjasama menawarkan kemudahan pembiayaan kewangan kepada para usahawan di bawah bimbingannya.
Setakat ini, MARA telah bekerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) di bawah program Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM), sejak tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail berkata, pihaknya telah menerima tawaran untuk bekerjasama dengan CIMB Islamic baru-baru ini.
Katanya, ia merupakan satu pakatan kerjasama yang amat positif bagi membantu golongan usahawan tempatan yang memerlukan pembiayaan kewangan.
''Kami melihatnya sebagai perkembangan yang baik dan mengalu-alukan lebih banyak institusi kewangan tempatan melakukan langkah yang sama bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persetujuan di antara Shapers Malaysia Sdn. Bhd., MARA dan CIMB Islamic di sini hari ini.
Sehingga kini, MARA telah menawarkan tiga produk pembiayaan iaitu SJUM, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres MARA (SPIKE), dan Skim Pembiayaan Am MARA (SPPA).
Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, MARA telah membimbing 62,586 usahawan dengan pembiayaan terkini berjumlah RM1.99 bilion.
Tambah Rosdi, SPIKE merupakan skim yang paling menerima sambutan memberangsangkan sejak ia dilancarkan awal tahun ini.
Katanya, skim tersebut bagi memberi bantuan pinjaman secara cepat kepada para kontraktor terutamanya di kalangan kelas F.
''Pembiayaan itu akan diluluskan dalam tempoh tiga hari permohonan sahaja yang memberi kemudahan kewangan kepada para kontraktor yang memerlukan bantuan,'' ujarnya.
Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata. masih terdapat ruang untuk pengusaha tempatan menguasai pasaran halal di peringkat serantau dan juga dunia kerana industri berkenaan masih baharu.
Beliau berkata, jika digabungkan dengan pasaran halal untuk perubatan, kosmetik dan barang-barang keperluan yang lain, adalah jelas bahawa potensi industri halal amat tinggi.
''Sekarang sudah terdapat negara-negara yang merupakan pengeksport utama di dalam bidang halal termasuk Thailand, Turki dan India.
''Malah, Amerika Syarikat dan Eropah juga telah mula melibatkan diri secara serius dalam industri tersebut,'' katanya.
No comments:
Post a Comment