Monday 8 August 2011

45 MRSM seluruh negara tawar IGCSE menjelang 2016

PUTRAJAYA 6 Ogos - Kesemua 45 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara akan menawarkan peperiksaan peringkat antarabangsa, International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) menjelang 2016.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, penawaran peperiksaan IGCSE dengan kerjasama Cambridge International Examination (CIE) itu membolehkan para pelajar mengikuti pengajian di universiti luar negara lebih awal.

"Buat permulaan, program itu dilaksanakan di MRSM Pekan, Pahang dan disertai 180 pelajar maktab berkenaan.

"Penawaran peperiksaan antarabangsa itu turut dibuka pada tahun depan di Parit, Johor Bahru, Sandakan, Besut, Baling dan Batu Pahat," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Diploma International Baccalaureate (IB) dan Anugerah Kecemerlangan Kolej MARA Banting di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, pelaksanaan program IGCSE itu membolehkan MRSM menawarkan dua sijil peperiksaan kepada pelajar.

"Kita percaya pelajar MRSM berupaya mengambil kedua-dua peperiksaan SPM dan IGCSE kerana mereka merupakan pelajar cemerlang," katanya.

No comments:

Post a Comment