Thursday 11 August 2011

Pelajar Malaysia di London cerita saat cemas jadi mangsa keganasan London

LONDON: "Ini kejadian paling mencemaskan dalam hidup saya dan berlaku pantas. Saya menaiki basikal tiba-tiba dikerumuni 20 lelaki berpisau yang mahu merampas basikal. Mereka kemudian menyeluk poket seluar dan mengambil telefon bimbit.

“Mereka menumbuk di dagu dan rahang hingga berdarah. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu dan apabila tersedar, saya terduduk di kaki lima dengan mulut berdarah,” kata Asyraf Haziq Rosli, 20, yang terlantar di Royal London Hospital di sini, sementara menunggu pembedahan bagi membetulkan rahang bawahnya yang pecah dan tulang pipinya yang patah.

Asyraf Haziq tidak dapat bercakap banyak kerana rahang bawahnya diikat dawai sebelum pembedahan, walaupun cuba melayani pelawat petang semalam termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Datuk Zakaria Sulong; Pengarah MARA, Dr Noorzalina Mohd Noor dan Pengerusi UMNO London, Dzuhair Hanafiah.
Pelajar tahun satu bidang perakaunan di Kolej Kaplan, di sini itu diserang ketika berbasikal bersama rakannya, Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, 20, di Barking, timur London iaitu satu daripada tempat berlaku kekacauan untuk berbuka puasa Isnin lalu.

Asyraf Haziq berkata, penyerangnya tidak menyedari kejadian dirakamkan individu dari bangunan berdekatan dan klip video satu minit 14 saat dimuatkan dalam YouTube serta diguna stesen penyiaran di sini termasuk BBC dan Sky TV.

Beliau berkata, selepas diserang, beberapa lelaki seolah-olah cuba membantunya tetapi mencuri barangan dalam beg sandang.

Asyraf Haziq berkata, beliau enggan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya bagi mengelak mereka bimbang.

Sementara itu, 11 pelajar dipindahkan dari Barking dan Mile End. Dzuhair juga memindahkan dua pelajar wanita di Peckham ke asrama MARA di Bayswater.

Zakaria berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, MARA dan Jabatan Pelajar Malaysia sentiasa memantau keadaan dan mengeluarkan arahan apabila perlu, memandangkan rusuhan merebak cepat.

No comments:

Post a Comment