Tuesday 16 August 2011

Asyraf derma semula wang kepada mangsa lain


Daripada Zaharah Othman
bhnews@bharian.com.my
2011/08/16

LONDON: Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli yang cedera diserang dan disamun sekumpulan belia di sini, minggu lalu akan menyumbang wang kutipan untuknya daripada orang ramai kepada mangsa lain yang terjejas akibat rusuhan itu.

Bagaimanapun, Asyraf berkata, buat masa ini beliau belum pasti siapa akan diberikan sumbangan itu. Sementara itu, bapanya, Rossli Harun yang tiba bersama isteri dan anak bongsunya di sini semalam menyokong tindakan murni Asyraf. “Matlamat saya satu saja iaitu untuk melihat Asyraf belajar sampai habis.

Biarlah dia terikat dengan MARA. Mengenai derma itu, saya rasa tidak perlu bagi kepadanya sebab dia ditanggung sepenuhnya oleh MARA.

“Dia datang ke sini bukan untuk mencari dana tetapi untuk belajar. Walaupun hidup kami sederhana, saya mahu lihat anak saya berjaya. Dana itu berilah kepada orang yang lebih perlu,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Datuk Zakaria Sulong, semalam.

Pada majlis itu, Zakaria juga menyampai salinan surat daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian yang menimpa Asyraf.

Turut diserahkan kepada Asyraf ialah surat daripada Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyuarakan rasa simpati beliau serta rasa malunya terhadap kejadian yang berlaku.

Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan MARA di Kaplan College dan keluarganya juga dijemput ke Parlimen British oleh Jawatankuasa Select Parlimen Britain.

Di KUALA LUMPUR, Muhyiddin memuji semangat Asyraf kerana tidak menyimpan perasaan negatif terhadap penyerangnya, selain mahu meneruskan pengajiannya.

Dalam mesej semangat yang diutuskan khas untuk Asyraf semalam, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melahirkan rasa dukacita atas kemalangan menimpa penuntut Malaysia itu memandangkan beliau baru saja sebulan berada di sana.

Sambil mendoakan supaya Asyraf segera sembuh selepas selamat menjalani pembedahan, Muhyiddin dan isteri berkata: “Kami berbangga kerana Asyraf tabah dan berani menghadapi ujian Allah pada Ramadan.”

Sementara itu, klip video YouTube mengenai serangan kejam dan samun Asyraf itu ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber pemantauan British.

No comments:

Post a Comment