Thursday, 4 August 2011

JAKOA ceburi projek ladang

Oleh Wan Kemat

bhnews@bharian.com.my
2011/08/02

Peluang Orang Asli jadi usahawan

KUALA KRAU: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membangunkan projek ladang tanaman kelapa sawit dan getah berkeluasan 24,326.13 hektar dengan kos berjumlah RM320.5 juta sebagai usaha mengurangkan kadar kemiskinan penduduk kumpulan itu di seluruh negara.

Projek pembangunan tanah berkenaan diusahakan dengan kerjasama RISDA dan FELCRA berikutan dua agensi itu berkemampuan serta memiliki kepakaran dalam sektor perladangan, seterusnya dapat membantu Orang Asli menjana pendapatan tetap.

Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Mohd Sani Mistam, berkata mereka yang dipilih sebagai peserta projek tanam berkelompok akan menerima dividen setiap tahun berdasarkan keuntungan dan pendapatan hasil ladang.

Katanya, daripada maklum balas yang diterima, ketua kampung dan Tok Batin Orang Asli turut mengakui keberkesanan kaedah itu kerana mampu meningkatkan pendapatan, sekali gus mengurangkan mereka bergantung hidup dengan jualan hasil hutan.

“Masyarakat Orang Asli juga boleh menggunakan dividen diterima setiap tahun untuk menguruskan perbelanjaan keluarga serta persekolahan anak.

“Selain itu, kita juga turut berusaha mempertingkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli dengan menggalakkan mereka menyertai bidang pembuatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerja pembinaan, perniagaan bagi melahirkan usahawan Orang Asli,” katanya selepas merasmikan Program Mesra Minda di Kampung Orang Asli Pian, dekat sini.

Turut hadir Senator Dewan Negara, Mohd Olian Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Jenderak, Datuk Muhammad Jaafar.

Beliau berkata, bagi tujuan itu juga, JAKOA sudah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Agensi Biro ANGKASA, Jabatan Pertanian, Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai usaha melatih dan melahirkan 500 usahawan Orang Asli menjelang 2015.

Pada masa sama, katanya, JAKOA turut membantu membangunkan minda serta modal insan pelajar Orang Asli dengan mempertingkatkan kemudahan pendidikan supaya pencapaian mereka seimbang dengan kaum lain.

No comments:

Post a Comment