KOTA KINABALU: Kementerian Luar malam tadi mengingatkan rakyat Malaysia yang ingin ke Britain dalam tempoh terdekat supaya memaklumkan kehadiran mereka kepada pejabat Kedutaan Malaysia sebagai langkah keselamatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata keadaan semasa mengundang risiko tinggi berikutan rusuhan semakin melarat dan merebak ke tengah bandar raya London, termasuk tempat tumpuan pelancong.
“Jika tidak ada keperluan mendesak, boleh tangguhkan dulu perjalanan ke Britain. Kita bimbang jika ada rakyat Malaysia yang terperangkap dalam situasi meruncing dan mengancam keselamatan ini akan menyebabkan mereka sukar pulang ke tanah air atau menuju ke destinasi tertentu di sana.
“Kita sedang memantau rapi perkembangan di sana dan setakat ini, belum ada keperluan bagi amaran perjalanan untuk mana-mana warga Malaysia yang ingin ke sana,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Mereka yang ingin mengetahui keadaan keluarga di Britain boleh menghubungi talian 03-88874399 dan 88874353 di Wisma Putra atau +4402079190242 di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.
Mengulas kejadian seorang pelajar Malaysia diserang dan dirompak, Anifah berkata, Asyraf Haziq kini dirawat di Hospital Royal London, Chelsea dan dilaporkan stabil.
Di BANGI, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata pihak MARA di London kini sedang giat memindahkan pelajar tajaan mereka ke penempatan yang lebih selamat selain mendapatkan bantuan polis bagi memberi perlindungan kepada pelajar Malaysia yang masih berada di sana.
“Langkah keselamatan sudah kita ambil dan Pengarah Pelajar MARA di sana sudah memaklumkan bahawa proses pemindahan pelajar ke tempat lebih selamat sudah dilakukan dan mereka tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan berkenaan jika tiada keperluan.
“Jika keadaan terdesak kita akan meminta mereka semua keluar bagi mengelak terus berada dalam keadaan sukar, bagaimanapun setakat ini keadaan masih terkawal, kecuali ada seorang pelajar yang dilaporkan tercedera akibat diserang dan dirompak oleh sekumpulan perusuh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment