Thursday 4 August 2011

MRSM Tun Ghafar Baba raih tiga emas di ESI 2011

JASIN 3 Ogos - Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih tiga pingat emas pada Ekspo Sains Antarabangsa (ESI 2011) di Bratislava, Slovakia baru-baru ini.

Edisi ke-13 ESI 2011 yang berlangsung dari 18 hingga 24 Julai lalu turut menyaksikan MRSM Tun Ghafar Baba dianugerahkan medal khas Delegasi Terbaik ESI 2011.

Pengetuanya, Dr. Mariam Mat Salleh berkata, maktab itu menghantar seramai 36 pelajar daripada tingkatan empat dan lima ke ekspo berkenaan untuk mengambil bahagian dalam empat daripada 13 kategori yang dipertandingkan.

"ESI 2011 mendapat penyertaan 70 buah negara dengan lebih 600 projek sains dihasilkan namun saya bersyukur apabila MRSM Tun Ghafar Baba dinobatkan sebagai juara dalam semua kategori yang kita ambil bahagian," katanya kepada pemberita di MRSM Tun Ghafar Baba di sini hari ini.

Menurutnya, tiga hasil penyelidikan sains yang berjaya menggondol pingat emas adalah kajian mengenai Penjanaan Tenaga Bahan Bakar Pejal daripada Bahan Buangan Industri Perladangan Ayam.

Kajian kedua pula katanya, berkaitan Tindakan Sel Kimia ke atas Larutan Sodium Klorida dengan Elektrod yang Telah Dipolimerkan sebagai Gantian Tenaga Masa Depan.

''Satu lagi hasil kajian adalah Sabut Kelapa sebagai Pemangkin Bio-Enzim Minyak Sawit untuk Menghasilkan Biofuel bagi Penjanaan Tenaga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment