Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa Rabu bagi memberi laluan
kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.
Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui
televisyen, Najib berkata beliau telah menghadap dan mendapatkan perkenan Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen
Ke-12 Selasa.
Beliau turut menasihati semua kerajaan negeri untuk
membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan
dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.
DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac
bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.
Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011
yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang
dipertandingkan.
Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan
tarikh hari penamaan calon dan pengundian.
Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013.
Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan
raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran
Parlimen.
Berdasarkan daftar pengundi terkini, jumlah pemilih
berdaftar di seluruh negara ialah 13.3 juta orang yang berdaftar sehingga
Disember 2012.
Sejumlah 222 kerusi parlimen akan dipertandingkan pada
pilihan raya umum kali ini termasuk termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505
kerusi DUN, akan dipertandingkan di peringkat negeri.
Ketika Parlimen dibubarkan, komposisi di Dewan Rakyat
menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29),
PAS (23) ,Parti Keadilan Rakyat (PKR) (23) kerusi, Parti Sosialis Malaysia
(PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi.
Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.
Pada pilihan raya umum 2008, BN gagal menguasai majoriti dua
pertiga Dewan Rakyat setelah hanya menang 140 kerusi berbanding pakatan
pembangkang 82 kerusi.
Selain gagal menguasai Kelantan, BN juga gagal mempertahankan
pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Perak bagaimanapun kembali kepada BN kira-kira setahun
kemudian setelah tiga wakil rakyat yang dipilih mengisytiharkan sokongan mereka
kepada BN.
Pilihan raya umum kali ini ialah yang pertama buat Najib
yang akan memimpin jentera BN selepas mengambil-alih jawatan perdana menteri
daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.
Bagi SPR pula, ia akan melaksanakan lapan elemen baharu
dalam pilihan raya umum kali ini sebagai langkah penambahbaikan perjalanan
pilihan raya selaras dengan cadangan yang terkandung dalam laporan akhir
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya yang
dibentangkan di Parlimen pada 3 April lepas.
Lapan elemen itu termasuk penggunaan dakwat kekal,
pengundian awal untuk menggantikan undi pos bagi anggota polis dan tentera,
membenarkan undi pos bagi masyarakat Malaysia di luar negara dan warga media
serta dan menetapkan tempoh kempen tidak kurang 10 hari.
Selepas pilihan raya umum ke-12, sebanyak 16 pilihan raya
kecil diadakan, ekoran kematian dan peletakan jawatan, iaitu enam bagi kerusi
parlimen dan 10 kerusi DUN, yang menyaksikan masing-masing lapan kerusi
dimenangi BN dan pembangkang.
Pilihan raya kecil Parlimen ialah bagi kerusi Permatang
Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi
manakala pilihan raya kecil DUN ialah di Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai,
Permatang Pasir, Penanti, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan
Kerdau.
Jumlah pilihan raya kecil berkenaan antara yang terbanyak
dalam sejarah pilihan raya negara selepas penggal 1995 hingga 1999 menyaksikan
17 pilihan raya kecil diadakan. -Bernama