Tuesday 16 April 2013

Golongan guru diminta terus bersama kerajaan


IDRIS Jusoh (tiga dari kiri) menyampaikan sijil anugerah kecemerlangan kepada Pengetua SMK Putra, Ruhani Salleh yang terpilih sebagai Pengetua Cemerlang atas prestasi sekolahnya dalam STPM 2012, di Besut, Terengganu, semalam. Turut hadir, Abdullah Md. Zin (dua dari kiri) dan Ab. Halim Hassan (kiri). - BERNAMA

BESUT 15 April - Golongan guru diminta untuk terus bersama dengan kerajaan yang telah terbukti berjaya merancang pelbagai program dan melaksanakan dasar untuk membawa kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sokongan mereka dengan gabungan kerjasama ibu bapa dan masyarakat telah meraih kejayaan yang membanggakan.

"Komitmen dan usaha kerajaan yang menyediakan banyak prasarana dan jaminan masa depan terhadap profesion perguruan perlu terus didukung demi masa depan anak bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Resepsi Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin, Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab. Halim Hassan dan pengetua-pengetua sekolah menengah dalam daerah Besut.
Pada majlis tersebut, dua pelajar cemerlang STPM peringkat kebangsaan dan empat pelajar cemerlang STPM peringkat daerah menerima penghargaan.

Selain itu, pengetua dan sekolah yang mencatatkan keputusan cemerlang serta guru panel serta penyelaras projek STPM dari sekolah berkenaan turut menerima sijil dan anugerah.

Idris menambah, peranan guru amat penting untuk membudayakan setiap pelajar dengan pendekatan 'Ar Rahman' dan 'Ar Rahim' yang terbukti mampu melahirkan pelajar memiliki kesedaran dan semangat juang yang tinggi.

No comments:

Post a Comment