Wednesday 10 April 2013

MARA sasar biaya pinjaman RM34j



KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri menyasarkan pencapaian pembiayaan pinjaman sebanyak RM34 juta di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) pada tahun ini.

Pengarah MARA Sarawak Shazali Salleh berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan pencapaian skim pembiayaan itu yang memberangsangkan pada tahun lepas apabila RM27 juta telah diberikan kepada 35 peminjam yang terdiri daripada kalangan kontraktor Bumiputera.

“Sehingga Mac tahun ini, sebanyak RM5.6 juta telah kami berikan kepada peminjam di bawah skim SPIKE ini bagi membantu kontraktor Bumiputera di negeri untuk mendapatkan modal bagi menjalankan perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Shazali menjelaskan bahawa skim tersebut ditawar dan diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang layak terdiri daripada kontraktor kelas D, E dan F.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa ia juga untuk kontraktor bekalan dan perkhidmatan yang sekali gus membantu dan mampu menyelesaikan masalah untuk mendapatkan modal bagi menjalankan perniagaan.

“Malah, pinjaman yang kami tawarkan di bawah skim ini hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk diluluskan iaitu tiga hari,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau memberitahu bahawa jumlah peminjam yang paling ditinggi mengikut kawasan adalah dari Kuching diikuti Sibu dan Bintulu.

Menyentuh mengenai skim itu, Shazali menjelaskan bahawa peminjam boleh mendapatkan pinjaman sebanyak RM50,000 tanpa jaminan dan cagaran.

“Skim ini khas untuk kontraktor Bumiputera yang layak agar mereka dapat menjalankan dan berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya.

Melihat kepada pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), beliau memberitahu bahawa MARA menerusi instituSI pengajian yang ada di negeri ini akan giat melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi dalam BIDANG kimpal dan pendawaian.

“Kami akan terus komited dalam bersama-sama kerajaan menyediakan dan melahirkan tenaga kerja mahir khususnya pembangunan di SCORE,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment