Monday 29 April 2013

MRSM TAR: Manifestasi Keupayaan MARA Terjemah Agenda Kerajaan


PEKAN, 28 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penubuhan Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak (MRSM TAR) di sini merupakan satu lagi manifestasi keupayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menterjemah agenda kerajaan dalam bentuk yang diharapkan rakyat.

Perdana Menteri berkata ia juga membuktikan bahawa kerajaan sentiasa komited meletakkan pendidikan sebagai asas melahirkan generasi bumiputera yang bertaraf global, memiliki sahsiah dan ketrampilan terbaik serta mengakar dengan semangat mencipta lebih banyak kejayaan untuk anak bangsa.

"Selain menjadi prakarsa pembangunan minda, kewujudan MRSM TAR di Pekan ini juga merupakan satu lagi mercu pembangunan bersepadu oleh kerajaan yang pasti akan dapat memanfaatkan rakyat di sekelilingnya," katanya dalam perutusan di dalam buku cenderamata majlis perasmian MRSM TAR.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mewakili Najib merasmikan MRSM TAR dan melancarkan program Pekan English dan Sains Tuisyen (Pesat) di MRSM TAR di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Mara kerana berjaya merealisasikan harapan kerajaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat, sekaligus membuka pintu kepada lebih ramai lagi anak bangsa memiliki ilmu pengetahuan.

"Kejayaan yang dilakar Mara pada hari ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa tonggak dan mandat oleh rakyat kepada kerajaan yang mempunyai hala tuju dan wawasan yang jelas," katanya.

Menurut Najib sejak penubuhannya 47 tahun lepas, Mara memiliki nilai yang signifikan terhadap agenda pembangunan negara, sekaligus menjadi ejen transformasi ke arah memacu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Dalam hubungan ini, dua teras utama yang menjadi tonggak peranan Mara iaitu keusahawanan dan pendidikan telah dan akan sentiasa diperkasakan melalui penghasilan idea dan inovasi baru.

"Bagi memenuhi hasrat tersebut, negara amat memerlukan bakat dan guna tenaga yang berasaskan pengetahuan dan mempunyai semangat keusahawanan untuk mencipta lebih banyak rantaian kekayaan agar dapat dinikmati oleh segenap anak watan," kata Najib.

MRSM TAR di sini merupakan MRSM kelima di Pahang dan telah memulakan operasinya sejak 1 Mei 2010.

MRSM TAR kini mempunyai 72 tenaga pengajar meliputi empat buah jabatan iaitu Jabatan Bahasa, Matematik, Sains dan Sains Sosial serta 29 staf sokongan, manakala kumpulan pertama pelajar MRSM itu adalah seramai 753 orang iaitu 367 pelajar lelaki dan 368 pelajar perempuan.

Selaras dengan Pelan Strategik MARA 2011-2015, MRSM TAR telah menjadi MRSM perintis dalam program pendidikan dwisijil dengan menawarkan program Cambridge International General Certificate of Secondary Education di samping peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Program yang bermula sejak 2011 itu bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada pelajar bagi memudahkan mereka mendapat tempat di universiti terbaik dunia.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment