Friday 19 April 2013

Peluang lepasan SPM, STPM lanjut pelajaran ke IPMa



Eksekutif Pemasaran UniKL, Idris Abdul Wahab memberi taklimat kepada sebahagian pelajar mengenai proses kemasukan ke universiti tersebut pada Karnival Pendidikan Mara 2013 di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ Irwan Majid

KOTA BHARU 17 April - Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan semua pelajar di Kelantan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di bawah Institusi Pendidikan MARA (Ipma) tanpa mengira keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012.

Pengarah Bahagian Kewangan MARA, Abdul Rashid Mohd. Said berkata, sehubungan itu, ibu bapa digalakkan mengunjungi Karnival Pendidikan Mara (KPM) yang dianjurkan selama dua hari bermula hari ini di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung peluang tersebut.

Beliau berkata, melalui Ipma, Mara mempunyai program pendidikan dan latihan kemahiran yang begitu meluas iaitu melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Jerman Malaysian Institute (GMI), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Profesional Mara (KPM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan GiatMara.

"Saya percaya masih ramai yang tidak mengetahui betapa luasnya peluang pendidikan yang disediakan Mara, maka melalui karnival ini saya mahu kaum bumiputera mengetahui mereka berpeluang melanjutkan pengajian di bawah Ipma," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Pendidikan MARA 2013 Peringkat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Karnival itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam karnival itu, Mara menjalin kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kelantan untuk membuka sebanyak 140 ruang pameran yang kesemuanya memberi fokus kepada peluang pendidikan dan pekerjaan.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, penganjuran karnival itu tahun ini dijangka mampu mencatat rekod kehadiran sebanyak 70,000 pengunjung berdasarkan sambutan menggalakkan tahun lalu.

"Secara keseluruhannya, tahun lalu KPM mencatat kehadiran sebanyak 270,000 pengunjung di seluruh negara dan di Kelantan sahaja kira-kira 60,000 pengunjung hadir.

"Sebab itu jugalah kami jadikan KPM ini sebagai acara tahunan," katanya.

No comments:

Post a Comment