BESUT: UMNO Bahagian Besut akan memperkenal Program Menyulam Kasih peringkat Parlimen Besut bagi membantu keluarga susah dan bermasalah serta tiada tempat bergantung, untuk dibantu dan dipantau, tidak lama lagi.
Ketua bahagian yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program seumpama itu yang telah dilaksana di peringkat sekolah di daerah Besut baru-baru ini, menunjukkan kemajuan dan berjaya membantu keluarga miskin dan susah membina hidup baharu.
Katanya program menyu-lam kasih tersebut juga telah dilaksanakan di Kampung Pelagat Jerteh sebelum ini dan ia didapati mampu mengubah keluarga miskin dan susah menjalani hidup baharu.
Katanya melalui program itu, keluarga yang terlibat dipantau oleh pegawai kerajaan serta guru bersara yang dikenal pasti mempunyai kemahiran untuk memberi nasihat dan panduan kepada ‘keluarga angkat’ ini untuk membina hidup baharu.
“Pegawai terlibat akan memantau keluarga angkatnya itu dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul agar mereka tidak tenggelam punca dan hanya berserah kepada takdir semata-mata,” katanya kepada Bernama di Jerteh semalam.
Sebelum ini katanya, pelbagai usaha seperti ceramah, dijalankan untuk keluarga miskin ini, namun kurang berjaya berikutan kurangnya bimbingan dan pemantauan.
Idris berkata, menerusi program ini UMNO yakin dapat membantu setiap anggota dalam keluarga berkenaan selain memperoleh maklumat mengenai keperluan sebenar yang mampu mengubah hidup mereka.
Beliau berkata di setiap Dewan Undangan Negeri, sebanyak antara 20 dan 25 keluarga akan dikenal pasti sebelum pemantau angkat dipilih dari kalangan mereka yang berjaya untuk me-ngasuh, memberi nasihat dan bekerjasama dengan keluarga terbabit. — Bernama
No comments:
Post a Comment