TAWAU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan lebih 30,000
tempat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mengikuti pelbagai peringkat pengajian di
Institut Pendidikan Mara (IPMa) di seluruh negara bagi pengambilan Julai tahun
ini.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, berkata tahun ini
juga pihaknya menawarkan peluang pendidikan kepada 2,000 pelajar untuk
melanjutkan pengajian di luar negara dalam pelbagai bidang strategik.
"Kira-kira 2,000 tempat untuk pendidikan luar negara
dalam pelbagai bidang terutama bidang strategik seperti kejuruteraan, ekonomi
dan perakaunan ditawarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Karnival Pendidikan Mara 2013 peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Ibrahim berkata, IPMa seperti Universiti Kuala Lumpur,
German Malaysian Institut, Kolej Mara, Kolej Profesional Mara dan Kolej
Poly-Tech Mara, Maktab Rendah Sains Mara, Giatmara, Institut Kemahiran Mara
(IKM) menerima sehingga 60,000 permohonan untuk memasuki IPMa setiap tahun.
Katanya, jika IPMa yang menawarkan pengajian daripada
peringkat sijil sehingga ijazah tidak dapat menampung semua permohonan
berkenaan, pemohon yang layak akan ditawarkan tempat di institut pengajian
swasta yang bekerjasama dengan MARA. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment