Friday 11 January 2013

Ikrar integriti korporat akan diperluas ke seluruh agensi KKLW: Shafie

10th January, 2013


PUTRAJAYA: Penyertaan dalam Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi memerangi gejala rasuah akan diperluaskan ke seluruh agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata setakat ini dua agensi di bawah kementerian itu telah memeterai CIP iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), diikuti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang melaksanakannya kelmarin.

Beliau berkata keutamaan menyertai CIP diberi kepada agensi seperti Mara dan Kesedar kerana Kesedar terlibat dalam urusan tanah manakala Mara pula menerima peruntukan terbesar daripada kementerian.

“Untuk agensi lain kita serahkan kepada mereka bila untuk sertai,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani CIP oleh Kesedar yang diwakili Pengurus Besarnya Mohd Arshad Ismail dan disaksikan Shafie serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sutinah Sutan.

Dengan ikrar yang dilafazkan, Shafie percaya usaha menangani gejala rasuah akan dapat dicegah.
Sementara itu Sutinah dalam ucapannya berkata sehingga kini 161 syarikat telah menandatangani CIP, antaranya badan awam, badan bukan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Bagi memastikan CIP ini berjaya, SPRM melalui Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan akan mengadakan pemantauan secara berkala dan berterusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment