Wednesday, 16 January 2013

Gigih majukan bisnes

24
BAGI sesetengah individu, setiap de­tik yang diabadikan dalam sekeping gambar berbingkai membawa seribu makna. Gambar mampu menjadi gambaran emosi tanpa suara malah biarpun tidak disertakan pergerakan, ia tampak hidup bagaikan sebuah penceritaan kerana semua kenangan mampu disingkap hanya dengan memandangnya.
Begitu menakjubkan ni­lai atau harga sekeping gambar yang mampu menjadi rantaian emosi dan jiwa yang cukup kuat sehinggakan sesiapa juga mampu menitiskan air mata tatkala melihat hasil kerja seorang jurugambar berpengalaman.
Dulu dunia fotografi bukanlah kerjaya wanita. Malah boleh dibilang dengan jari jurugambar wanita yang menjadikan bidang ini sebagai sumber rezeki. Membawa bebanan peralatan kamera dengan jadual kerja yang padat dan lasak menjadikan kerjaya ini sangat mencabar kewibawaan fitrah semula jadi wanita yang bersifat lemah lembut.
Jika diikutkan, bukan senang bergelar jurufoto profesional sepenuh masa. Selain perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, jurugambar wanita terpaksa berhadapan pelbagai cabaran termasuk melayan kerenah pelanggan seperti ditipu dan tidak menerima bayaran.
Begitu juga dengan persaingan di kalangan jurugambar lelaki sehingga terpaksa memperkemaskan pelbagai teknik pemasaran dan kualiti untuk terus kukuh di dalam industri.
Namun biar dihambat seribu kepayahan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, semua cabaran dan kepayahan yang dilalui tidak menghalang Kamalia Kamal, 29, berjaya dalam bidang fotografi. Dia kini membuktikan dengan keazaman dan keyakinan, wanita yang terkenal dengan sifat lemah lembut mampu menawan kerjaya yang sebelum ini banyak dikuasai kaum Adam ini.
Ketika berkunjung ke studio The Photolicious di Cheras, Kuala Lumpur, tergambar kegigihan wanita bergelar isteri dan ibu ini dalam menaikkan martabat jurugambar wanita apabila lapan daripada 12 jurufoto profesional yang terbabit dengannya ialah wanita.
Menerusi sistem yang sistematik dengan melantik enam pekerja di bahagian pengurusan dan dua di bahagian penjualan dan pemasaran, Kamalia bukan sekadar menjadikannya sebagai kerjaya tetapi mewujudkan peluang perniagaan yang dulunya langsung tidak difikirkan.
Berasal dari Kuala Lumpur, ibu kepada dua cahaya mata ini tidak pernah menjalani latihan formal dalam bidang fotografi. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perniagaan) daripada Universiti Arizona, Amerika Syarikat ini hanya memasuki kelas fotografi di universiti sehingga mampu menjual sekeping gambar pada harga lima dolar sekeping. Sebagai pelajar, penjualan gambar sedemikian pasti menjadi sumber pendapatan lumayan ketika itu.
“Dari situ saya mula terfikir bidang fotografi sekiranya dilakukan secara serius mampu menjana pendapatan lumayan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain khususnya wanita. Selepas pulang ke Malaysia, saya mula mengorak langkah sebagai jurugambar perkahwinan secara sambilan sehingga akhirnya menubuhkan KamaliaKamal Photography sebelum menukar kepada The Photolicious pada 2006 bagi menjadikannya jenama yang dikenali ramai,” katanya.
Ia bermula daripada majlis kecil hari jadi, berkhatan, keraian, perkahwinan, sebelum perkahwinan, penggambaran korporat, produk dan model. Malah sejak 2007, Kamalia giat menyertai pameran dan melakukan penggambaran sebelum majlis perkahwinan yang dulu jarang dibuat pengantin Melayu. Hasil yang kreatif, gambar yang hidup dan penuh emosi menjadi tanda pengenalan kepada jenama The Photolicious sehingga menjadi pilihan kebanyakan mempelai untuk mengabadikan kenangan mereka.
“Dulu kami bermula dengan modal sangat sedikit yang dilaburkan khas untuk peralatan kamera. Dari situ, sedikit demi sedikit The Photolicious mengorak langkah mengembangkan kebolehan, keunikan serta kualiti yang tinggi dalam melahirkan idea sehingga mencipta jenama tersendiri dalam bidang ini.
“Siapa sangka dengan dipelopori jurugambar wanita, keuntungan syarikat meningkat sehingga 60 peratus bermula pada 2007 yang mencecah RM500,000 setahun untuk jualan tahunan. Ini pengiktirafan yang tidak ternilai buat saya dan kumpulan The Photolicious,” katanya yang kini semakin dikenali sebagai jurugambar perkahwinan selebriti.
Terbaru, syarikat terbabit menjadi jurugambar rasmi untuk perkahwinan bintang bola sepak negara Apek dan pasangannya, Luiney.
Pada masa sama, ia kini aktif menganjurkan kelas Keusahawanan Fotografi khususnya bersama pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu jurugambar Bumiputera lebih berkembang dalam industri fotografi.
“Kursus anjuran bersama MARA itu bukan mengenai cara me–ngambil gambar tetapi mengajar aspek keusahawanan fotografi dan menjadikannya sumber mata pencarian,” kata Kamalia yang aktif menjalankan bengkel di luar Kuala Lumpur seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Johor.
Selaku jurugambar wanita pertama di Malaysia yang menumpukan sepenuh masa dalam industri perkahwinan, Kamalia Kamal sentiasa tampil dengan membuka kelas percuma khas untuk kaum wanita dan ibu yang ingin memantapkan lagi kemahiran mereka.
Walaupun kini jumlah jurugambar semakin bertambah dengan persaingan dalam bidang penggambaran perkahwinan, Kamalia sedikit pun tidak gentar malah gembira dengan penerimaan masyarakat terhadap jurugambar wanita yang semakin meningkat. Pada masa sama, dia ingin meletakkan standard tertinggi bagi semua gambar di bawah The Photolicious bersesuaian slogan syarikat Live, Like dan Love.
“Kami percaya komposisi dan limpahan krea­tiviti berbeza terhadap setiap projek membenarkan kami menghasilkan gambar yang seakan bernafas selamanya. Begitu juga tanpa kecintaan yang utuh dalam bidang ini, cerita dalam setiap gambar tidak akan dapat disampaikan dengan baik manakala cinta ialah nadi utama yang membuatkan gambar kami sentiasa segar bagi memastikan setiap keping gambar bakal memberi impak yang besar kepada pelanggan,” katanya.

No comments:

Post a Comment