Wednesday, 23 January 2013

Warga MARA perlu kreatif cipta produk


KUALA LUMPUR 21 Jan. - Warga kerja Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu lebih berfikiran kritis dan konstruktif dalam mereka cipta produk inovasi yang kreatif dan inovatif di luar kelaziman.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad berkata, setiap inovasi yang ditampilkan mestilah mempunyai justifikasi yang jelas, berimpak tinggi, mempunyai nilai untuk pendapatan serta memberi manfaat cukup besar kepada rakyat dan negara.

Katanya, setiap inovasi perlu diukur daripada sudut sejauh mana sumbangannya kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat bertepatan dengan tema hari inovasi MARA pada tahun ini iaitu Inovasi Pencetus Kekayaan Baharu.

"Warga kerja MARA harus bersedia untuk melakukan transformasi dari segi minda dan budaya kerja berinovasi bagi bergerak seiring dengan hasrat kerajaan.

"Terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian seperti penguasaan teknologi dan inovasi, pendedahan di peringkat global, mengelak budaya syok sendiri dan meningkatkan usaha pengkomersialan dan membuat paten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Inovasi MARA di Menara Mara, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Ibrahim memberitahu, Hari Inovasi yang disambut pada setiap tahun mampu mengangkat martabat dan keupayaan Mara untuk menerapkan budaya inovasi dalam kalangan warga kerja di semua peringkat.

Katanya, dalam membudayakan dan melonjakkan inovasi ke tahap yang lebih tinggi, Skim Geran Penyelidikan dan Inovasi (SGPIM) diperkenalkan oleh Unit Penyelidikan dan Inovasi MARA.

"SGPIM yang diperkenalkan memperuntukkan RM1 juta untuk menggalakkan penyelidik dan pereka cipta menghasilkan kajian dan produk inovasi yang mampu membuat transformasi dalam penyampaian dan sistem perkhidmatan MARA," ujarnya.

No comments:

Post a Comment