Monday 21 January 2013

Besut Dipilih Destinasi My Kampung My Future - Idris



Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memilih daerah Besut sebagai destinasi dalam program 'My Kampung My Future' (MKMF) bagi menghidupkan ekonomi penduduknya melalui aktiviti pertanian.

Adun kawasan Jerteh Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Mohamad Hashim Abdullah ketika mewakili Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pada majlis penyampaian wang ehsan kepada petani di Besut  Khamis lepas.

"Untuk itu, Pejabat Daerah Besut telah mengenal pasti beberapa buah kampung untuk dimajukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memulakan program tersebut secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kenduri Warga Pendidikan Besut di Sekolah Pusat Jerteh semalam.

Setakat ini, kementerian berkenaan memulakan program MKMF di tiga lokasi iaitu Kampung Gedong (Sarawak), Kampung Marutai (Sabah) dan Batu Gajah (Perak).

Idris berkata, pihaknya akan memperkenal projek ternakan ayam dan itik secara organik, sayuran organik, ternakan air organik serta pelancongan di kampung yang bakal dipilih untuk Program MKMF di Besut.

Beliau berkata, program itu akan melibatkan sepenuhnya penduduk di kampung terpilih, termasuk belia dan remaja bagi menjayakan MKMF.

Ketika berucap merasmikan Program Kenduri Warga pendidikan Besut, Idrismengingatkan pendidik agar tidak mengukur kejayaan pendidikan melalui penilaian terhadap prestasi akademik semata-mata dan mengabaikan aspek seperti kecemerlangan bakat pelajar dalam pelbagai bidang lain.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu juga berkata, kejayaan pendidikan sepatutnya dinilai dalam semua bidang, terutama bakat kerana ia boleh membawa kejayaan dalam hidup seseorang pada masa depan.

"Telah terbukti terdapat ramai mereka yang berjaya dalam hidup melalui bakat mereka walaupun pada peringkat awalnya, mereka lemah dalam akademik," katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan hal Ehwal Pengguna negeri Dr A.Rahman Mokhtar, Adun Kawasan Jabi Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut A.Rahim Jusoh dan Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu Mohd Zuber Embong.

No comments:

Post a Comment